Warga Kanada dihukum penjara 11 tahun di China kerana mengintip


Warga Kanada Michael Spavor dijatuhi hukuman penjara 11 tahun di mahkamah di Dandong, China, hari ini.

MAHKAMAH China hari ini menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun ke atas warga Kanada Michael Spavor selepas didapati bersalah mengintip rahsia kerajaan.

Spavor ditahan bersama bekas diplomat juga warga Kanada, Michael Kovrig sejak Disember 2018, tidak lama selepas penahanan eksekutif Huawei Meng Wanzhou. 

Meng ditahan di Kanada pada 1 Disember 2018 atas permohonan Amerika Syarikat, yang menuduhnya melanggar sekatan terhadap Iran. Hubungan Kanada dan China ‘terjejas’ susulan penahanan Meng.

Mahkamah di Dandong dalam satu kenyataan berkata Spavor disabitkan bersalah mengintip rahsia kerajaan China.

“Dia dihukum penjara 11 tahun.”

Keputusan itu dijatuhkan sehari selepas mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang lagi warganegara Kanada Robert Lloyd Schellenberg, selepas didapati bersalah atas tuduhan menyeludup dadah.

Spavor dan Kovrig didakwa mengintip pada Jun tahun lalu dan dibicarakan berasingan pada Mac tahun ini. Diplomat-diplomat Kanada dilarang mengikuti perbicaraan selama tiga jam itu. – AFP, 11 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen