KAMI ingin mendesak kerajaan untuk memaklumkan pendirian berkaitan cukai eksais terhadap vape dan kawal selia yang akan dilaksanakan.
Tuntutan ini sudahpun disuarakan Pertubuhan Green Lung Malaysia bersama Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Aktiviti Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH), Persatuan Remaja Malaysia (MAAH), Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (OCC) serta Ikram Health Malaysia dan disiarkan di media tempatan pada 30 Mei dan 24 Julai.
Namun, kami tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak Kementerian Kewangan Malaysia mahupun pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kami menggesa kerajaan memaklumkan pendirian berkaitan dengan cukai eksais terhadap vape bernikotin kerana isu ini berkaitan bukan sahaja dengan kesihatan seluruh rakyat Malaysia, tetapi juga produktiviti negara pada masa depan.
Lebih-lebih lagi negara kita masih berdepan dengan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat serta jumlah kematian yang saban hari menunjukkan kenaikan yang ketara.
Pihak industri vape dan tembakau baru-baru ini giat memberi cadangan kepada kerajaan untuk mengenakan cukai eksais terhadap vape bernikotin dan mendakwa hasil cukai menyumbang kepada ekonomi negara.
Cadangan sebegini dengan ketaranya membawa manfaat kepada indsutri sahaja. Padahal, cadangan ini bukan sahaja mempercepatkan peningkatan penagih nikotin di negara kita, terutamanya di kalangan generasi muda, tetapi juga akan meningkatkan kos perubatan.
Kos ini bagi merawat penyakit akibat penggunaan vape, melumpuhkan sistem kesihatan dan seterusnya membebankan ekonomi negara, terutamanya pada waktu pandemik Covid-19 ketika ini.
Pandemik Covid-19 memberi satu pengajaran yang agak besar kepada kita semua, jadi keputusan pihak kerajaan harus berlandaskan bukti sains, implikasi kepada sistem kesihatan yang kini semakin lumpuh akibat pandemik Covid-19 serta setiap nyawa rakyat Malaysia di bawah jagaan.
Hampir setiap hari kita boleh lihat cadangan daripada industri di media cetak atau media baru untuk melobi pihak kerajaan agar rokok elektronik atau vape dikawal selia dan mengalu-alukan pengenaan cukai eksais terhadap vape bernikotin.
Sebenarnya tiada keperluan bagi vape bernikotin dikawalselia kerana vape bernikotin sudah dikawal di bawah Akta Racun 1952. Dewan Perniagaan Vape Malaysia mengakui dalam kenyataan akhbar bahawa 97 peratus penjualan cecair vape di pasaran adalah mengandungi nikotin.
Ini bermaksud semua jualan vape bernikotin oleh pihak tidak berlesen di pasaran sekarang adalah menyalahi undang-undang.
Sebaliknya, kerajaan harus membanteras penjualan vape bernikotin dengan segera di bawah Akta Racun 1952 untuk menunjukkan bahawa kerajaan tidak berat sebelah dan mempunyai piawai berbeza dalam penguatkuasaan undang-undang.
Cadangan mengenakan cukai eksais terhadap vape bernikotin hanya satu helah untuk mengecualikan vape bernikotin daripada Akta Racun supaya sesiapa sahaja boleh menjual vape bernikotin di pasaran secara terbuka seperti rokok dan penjualan haram sekarang boleh dihalalkan. Inilah keputusan akhir yang industri vape mahu.
Implikasi gejala merokok ke atas kesihatan dan beban ekonomi sudah boleh kita semua lihat. Pengenaan cukai ke atas vape bernikotin seumpama mengulangi sejarah dan kesilapan ini mesti tidak boleh dilakukan sama sekali lagi.
KKM adalah pelindung bagi kesihatan semua rakyat Malaysia. Selama ini keputusan KKM sentiasa berlandaskan bukti sains, tetapi dalam isu rokok elektronik dan vape, KKM telah memilih untuk berdiam sahaja.
Melalui laporan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bertajuk “Epidemik Tembakau Global 2021”, WHO memberi amaran bahawa rokok elektronik dan alat seumpamanya membahayakan kesihatan.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menyatakan “nikotin sangat menyebabkan ketagihan. Sistem penghantaran nikotin elektronik (ENDS) berbahaya, dan mesti dikawal dengan lebih baik.”
Tindakan yang tegas dan pantas seharusnya diambil oleh KKM ke atas isu vape bernikotin ini seperti mana mereka menangani isu kesihatan lain.
Tetapi kali ini KKM seolah-olah tidak mengambil pendirian yang tegas dan telah mengabaikan pelbagai bukti hasil penyelidikan termasuk daripada WHO.
Justeru, pihak kami menggesa agar segala keputusan KKM harus mementingkan kesihatan rakyat tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.
Kami sekali lagi mendesak pihak kerajaan terutamanya KKM untuk mengambil dan memaklumkan pendirian dalam masa yang tersingkat dalam isu pengenaan cukai eksais terhadap vape bernikotin dan memberi jaminan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kita masih boleh bergantung kepada KKM untuk terus melindungi kesihatan kita.
Kami juga berharap perbincangan oleh diadakan bersama-sama badan profesional perubatan dan badan bukan kerajaan yang terlibat dalam usaha kawalan masalah merokok dengan segera, bukan industri vape atau tembakau di mana niat mereka sudah jelas dilihat.
Kita berharap para pemimpin dapat membuka mata dan memikul tanggungjawab untuk menyelamatkan Malaysia.
Cukup-cukuplah rakyat dibebani dengan pandemik Covid-19 yang tiada penghujungnya. Jangan menambah lagi penderitaan rakyat dengan menghalalkan racun yang akan memburukkan lagi keadaan. – 11 Ogos, 2021.
Kenyataan ini disokong:
1. Pertubuhan Green Lung Malaysia
2. Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Aktiviti Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH)
3. Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia (MAAH)
4. Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
5. Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM)
6. Ikram Health Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen