PASUKAN pemberontak yang dibubarkan, Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC), disiasat atas dakwaan merekrut lebih 18,000 kanak-kanak dalam perang dengan kerajaan, kata mahkamah khas Colombia.
Kerajaan Colombia dan FARC menandatangani perjanjian damai pada 2016, bagi menamatkan perang gerila selama 50 tahun, antara konflik dunia paling panjang.
Antara syarat perjanjian damai tersebut, mahkamah khas iaitu Special Jurisdiction for Peace (JEP), diwujudkan untuk bagi menyiasat jenayah dan kekejaman FARC sepanjang konflik.
Presiden JEP Eduardo Cifuentes pada sidang media di Bogota semalam berkata siasatan mendapati seramai 18,667 kanak-kanak bawah 18 tahun dikerah, termasuk 5,691 berumur 14 tahun ke bawah, yang melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Seramai 26 bekas anggota FARC telah dipanggil untuk memberi kenyataan secara sukarela, kata Cifuentes.
Mahkamah selepas ini katanya akan memutuskan sama ada perlu mengenakan tuduhan jenayah antarabangsa, termasuk kehilangan paksa, pembunuhan dan keganasan seksual berkait kesalahan merekrut kanak-kanak.
Mahkamah juga mempertimbangkan hukuman penjara sebagai hukuman alternatif sekiranya anggota terbabit mengaku bersalah, selain membayar ganti rugi kepada mangsa. – AFP, 11 Ogos, 2021.
Komen