GABENOR New York Andrew Cuomo, yang terpalit dengan dakwaan skandal gangguan seksual terhadap 11 orang wanita, umum peletakan jawatan semalam, lapor AFP.
Cuomo menerima tekanan dari anggota dalam partinya Demokrat supaya meletak jawatan, termasuk dari Presiden AS Joe Biden minggu lalu, susulan dakwaan yang mencemar reputasi gabenor itu.
Selain dakwaan skandal gangguan seksual, beliau dituduh cuba menutup beberapa kes kematian di rumah penjagaan orang tua di New York.
Cuomo, 63, berkata peletakan jawatan itu langkah terbaik bagi membolehkan kerajaan kembali mentadbir New York.
“Peletakan jawatan saya berkuatkuasa dalam 14 hari, ” umumnya secara langsung di televisyen semalam.
Selepas tempoh berkenaan beliau akan digantikan Kathy Hochul, dari Demokrat, sekali gus bakal mencipta sejarah sebagai gabenor wanita pertama New York.
Cuomo sebelum ini berkali-kali menafikan dakwaan seksual yang didedahkan dalam laporan dikeluarkan Pendakwa Raya New York Letitia James pada 3 Ogos lalu.
Peletakan jawatan Cuomo setahun selepas beliau dipuji atas usahanya memerangi pandemik Covid-19 dengan mengambil pendekatan berbeza dari bekas presiden AS Donald Trump. – 11 Ogos, 2021.
Komen