AS sumbang AS$55 juta kepada Thailand bantu pelarian Myanmar


Duta AS ke PBB Linda Thomas-Greenfield berkata sumbangan kepada Thailand akan disalurkan terus menerusi rakan kongsi pertubuhan antarabangsa serta badan bukan kerajaan. – Gambar AFP, 11 Ogos, 2021.

AMERIKA Syarikat (AS) menyumbang AS$55 juta kepada Thailand, dengan AS$50 kebanyakannya diperuntukkan untuk bantuan kemanusiaan kepada lebih 700,000 pelarian dan mereka yang hilang tempat tinggal dari Myanmar.

Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Linda Thomas-Greenfield mengumumkan sumbangan akan disalurkan terus menerusi rakan kongsi pertubuhan antarabangsa serta badan bukan kerajaan.

Sumbangan itu bertujuan memberikan bantuan makanan kecemasan, tempat perlindungan, penjagaan kesihatan, air, sanitasi serta perkhidmatan kebersihan lain kepada mereka yang terjejas dari Myanmar.

Selain itu, katanya, AS memperuntukkan AS$5 juta untuk bantuan Covid-19 kepada Thailand bagi menyediakan sokongan kepada petugas penjagaan kesihatan menguruskan vaksin serta mengukuhkan kemampuan sistem kesihatan negara itu bagi mencegah, mengesan dan melakukan tindak balas terhadap ancaman wabak itu.

“Kami tahu Thailand terpaksa menggalas beban tambahan, termasuk terpaksa menyediakan bantuan kemanusiaan akibat daripada krisis di Burma.

“Jadi hari ini, saya mengumumkan kerajaan AS menyediakan bantuan AS$55 juta, majoritinya adalah untuk usaha bantuan kemanusiaan. Kami juga menyediakan bantuan bagi menyokong pasukan tindak balas wabak bagi meringankan bebanan sistem kesihatan Thailand.

“Sumber ini akan dapat membantu memastikan Thailand, NGO serta pertubuhan antarabangsa berdepan dengan krisis Covid-19 serta memenuhi keperluan penduduk terutma di kawasan sempadan negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Vaksinasi Hospital Med Park, di Bangkok, semalam. Pusat berkenaan menguruskan proses pemberian 1.5 juta vaksin Pfizer yang disumbangkan AS.

“Kami juga ingin mengumumkan bahawa tidak lama lagi kami akan menyumbang satu juta dos lagi,” katanya.

Sejak 24 jam lalu, Thailand merekodkan 19,843 kes Covid-19 baharu dengan rekod kematian tertinggi seramai  235 orang, menjadikan angka keseluruhan mereka yang dijangkiti wabak berkenaan di negara ini seramai 795,951 dengan 6,588 kematian.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) sebanyak 19,843 kes baharu, 21 daripadanya adalah kes import termasuk tiga kes membabitkan mereka yang merentas sempadan dari Malaysia.

Bangkok terus menjadi pusat penularan wabak dengan 4,226 kes serta 111 kematian.

Daripada keseluruhan jumlah kematian yang direkodkan, 122 adalah lelaki dan 113 wanita berusia antara 20 hingga 100 tahun, termasuk dua warga asing. – Bernama, 11 Ogos, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen