Doktor diarah tangguh latihan pakar, bantu urus Covid-19


Elill Easwaran

Doktor yang hanya mahu dikenali sebagai Sarah berkata, beliau tidak keberatan untuk membantu selama tiga bulan tetapi dengan syarat kerajaan akan memberikan lebih banyak bantuan kepada hospital dengan kadar segera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos 2021.

PENGAMAL perubatan yang melanjutkan pelajaran di peringkat pakar dalam pelbagai bidang diarah menangguhkan pengajian mereka selama tiga bulan bagi membantu kerajaan menguruskan pesakit Covid-19. Tindakan ini sekaligus mengakibatkan kebanyakan doktor terganggu.

Sepucuk surat dari Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Shafiq Abdullah kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang dilihat wartawan The Malaysian Insight, meminta agar kelas latihan pakar itu ditangguhkan selama tiga bulan bermula 1 Ogos.

Doktor yang diberitahu supaya menangguhkan kajian mereka tidak berpuas hati dengan keputusan itu kerana mereka -

“Buat masa ini mereka (Kementerian Kesihatan) menyatakan ini hanya akan berjalan selama tiga bulan tetapi situasi (kes Covid-19) tidak akan bertambah baik dalam tempoh terdekat. Jadi, ini bermakna lebih dari tiga bulan,” kata doktor yang hanya mahu dikenali sebagai Sarah.

Sarah berkata, beliau tidak keberatan untuk membantu selama tiga bulan tetapi dengan syarat kerajaan akan memberikan lebih banyak bantuan kepada hospital dengan kadar segera termasuk menyediakan katil tambahan, peralatan perubatan dan tenaga kerja.

Ini kerana, beliau merasakan keadaan di hospital sudah semakin teruk.

“Dari perspektif doktor, apa yang saya lihat kerajaan sekarang adalah lebih suka berpolitik dan bukannya menyediakan peralatan yang diperlukan hospital,” katanya.

Sarah berkata Covid-19 terus merosakkan negara dan satu-satunya cara untuk mengatasinya adalah dengan bekerjasama.

“Setiap orang harus bersatu, dari doktor kepada masyarakat, hinggalah kerajaan,” katanya, sambil menambah bahawa keadaan ketika ini nampaknya macam tidak akan berakhir dengan doktor terus berjuang saban hari bagi memastikan tahap penjagaan kesihatan lebih baik buat semua.

“Sekarang ini adalah soal berkompromi. Pesakit onkologi kami, penyakit kronik, pesakit kesihatan mental, kes pediatrik yang memerlukan pembedahan segera, semuanya menerima rawatan yang kurang optimum disebabkan pandemik yang sungguh mengecewakan,” kata Sarah.

Sementara itu, Dr Helmy Haja Mydin dari Hospital Pantai dalam ciapan di Twitternya semalam berkata, orang ramai tidak menyedari bahawa ramai pesakit bukan Covid-19 meninggal dunia akibat kadar penggunaan unit rawatan rapi (ICU) yang terlalu tinggi.

“Setiap pesakit positif Covid-19 yang bertambah di hospital, maka pembedahan melibatkan pesakit bukan Covid-19 terpaksa ditunda, jururawat dipanggil, selain bakal kehabisan ubat-ubatan, bilangan katil di ICU, oksigen, dan lain-lain lagi,” katanya. – 11 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen