SEPASANG suami isteri di California mengaku tidak bersalah terhadap beberapa tuduhan mendera 13 anak mereka dengan mengurung mereka bertahun-tahun lamanya, dengan ada yang dirantai dan hanya dibenarkan mandi setahun sekali.
David Allen Turpin, 57, dan isterinya Louise Anna Turpin, 49, yang mendaftarkan rumah mereka sebagai sekolah – berdepan 12 tuduhan mendera, 12 tuduhan mengurung secara salah, enam penderaan kanak-kanak dan enam lagi tuduhan mendera dewasa yang memerlukan bantuan.
Pasangan itu dibawa ke mahkamah di Riverside kali pertama semalam.
Turpin juga didakwa dengan satu tuduhan berkelakuan lucah terhadap kanak-kanak, kata Peguam Daerah Mike Hestrin pada satu sidang akhbar.
Mahkamah menetapkan wang jaminan AS$12 juta setiap seorang.
“Jika disabitkan bersama, mereka berdepan hukuman penjara selama 94 tahun,” kata Hestrin.
Polis di Perris, bandar di tenggara Los Angeles, menemui tiga tahanan diikat dengan rantai dan mangga di dalam rumah mereka yang kotor dan busuk pada Ahad lalu selepas menerima panggilan kecemasan daripada seorang adik perempuan mereka yang berjaya melepaskan diri.
Hestrin berkata remaja berusia 17 tahun itu berusaha untuk melepaskan diri sejak lebih dua tahun lalu, dan membawa seorang adik beradiknya bersama tetapi kemudian takut dan berpatah balik.
Remaja itu tekad melarikan diri dan ketika ditemui, polis menyangka dia seorang kanak-kanak kerana tubuhnya terlalu kurus.
Pegawai polis pada awalnya mengandaikan adik beradiknya yang lain juga kanak-kanak, tetapi terkejut apabila mendapati tujuh daripadanya berusia dari 18 hingga 29 tahun.
Semua 13 beradik itu sedang dirawat kerana didapati kurang zat dan akan menjalani ujian diagnostik. – AFP, 19 Januari, 2018.
Komen