PERTUMBUHAN sektor pembuatan pada bulan Jun apabila seluruh negara dikenakan sekatan pergerakan penuh menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional menipu rakyat tentang penutupan kilang ketika itu, kata Najib Razak.
Bekas perdana menteri itu merujuk kepada laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan semalam yang menunjukkan pertumbuhan 6.5% atau RM124.4 bilion pada Jun.
Laporan juga menunjukkan berlaku pertumbuhan 1.2% dalam sektor pembuatan berbanding bulan Mei, tetapi kadar pengangguran naik 1.2% kepada 2,188,142.
“Bulan Jun 2021 sebenarnya adalah bulan total lockdown atau penutupan penuh seperti diumum PM8.
“Jadi, bagaimana pula penjualan dan jumlah pekerja bagi keseluruhan sektor pembuatan boleh naik pada bulan Jun 2021 yang kononnya telah lockdown berbanding bulan Jun 2020 yang tiada lockdown
“Ini bermaksud bahawa PM8 dan kerajaan PN telah MENIPU seluruh Rakyat dan kebanyakan kilang-kilang dalam Malaysia telah teruskan operasi sepanjang tempoh total lockdown,” tulisnya di Facebook.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata semua kilang ini dibenarkan beroperasi sedangkan sektor lain seperti hiburan pelancongan, ekonomi gig dan yang lain hilang sumber pendapatan sepanjang tempoh itu.
“Jadi, kenapa hampir kesemua sektor ekonomi lain perlu berkorban supaya sektor pembuatan boleh terus berkembang?
“Kenapa kerajaan hukum dan korbankan sektor-sektor yang paling tidak mampu dihukum dengan pekerja bilangan paling besar supaya sektor pembuatan yang paling mampu bertahan sebulan lockdown boleh terus mengaut keuntungan sepanjang total lockdown?
“Dan apa gunanya total lockdown apabila lebih 2 juta pekerja sektor pembuatan perlu terus bekerja sepanjang tempoh?
“Sekiranya perlu berkorban, kenapa bukan semua berkorban bersama-sama untuk seketika agar lockdown tidak diheret berpanjangan sehingga 3 bulan setakat hari ini?,” tanya Najib.
Tambahnya, ramai orang hilang nyawa bagi memastikan sektor pembuatan boleh terus beroperasi.
“Syabas sektor perkilangan dan syabas pada kerajaan PN atas prestasi baik sektor pembuatan!” sindirnya.
Kerajaan mengenakan sekatan pergerakan penuh pada 1 Jun sebagai usaha mengurangkan jangkitan Covid-19.
Sepanjang tempoh itu, sektor yang dikategorikan sebagai tidak penting tidak dibenarkan beroperasi.
Bagaimanapun, Malaysia terus merekodkan lonjakan kes Covid-19 melebihi belasan ribu kes setiap hari, jumlah kes terkumpul kini sudah melepasi sejuta kes dengan kematian lebih 11,000 orang.
Hari ini, negara melaporkan 19,991 kes baharu Covid-19. – 10 Ogos, 2021.

Komen