Singapura benar 'walk-in' di 26 pusat vaksinasi Covid-19 Pfizer


Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu bagi mempermudah rakyat Singapura, Penduduk Tetap dan pemegang Pas Jangka Panjang berusia 12 tahun ke atas untuk mendapatkan dos vaksin mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos 2021.

TANPA perlu janji temu, bermula hari ini penduduk Singapura boleh mendapatkan suntikan masing-masing di 26 pusat vaksinasi yang menawarkan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech (Comirnaty).

Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu bagi mempermudah rakyat Singapura, Penduduk Tetap dan pemegang Pas Jangka Panjang berusia 12 tahun ke atas untuk mendapatkan dos vaksin mereka.

“Vaksinasi tetap menjadi kunci utama dalam perjuangan kita memerangi Covid-19. Kami menggesa semua yang layak dapatkan vaksin masing-masing. Individu juga boleh membuat janji temu di www.vaccine.gov.sg,” menurut kementerian itu.

Sejak pertengahan Julai, warga emas berusia 60 tahun ke atas dibenarkan walk-in ke mana-mana pusat vaksinasi, poliklinik atau Klinik Kesihatan Awam untuk mendapatkan suntikan vaksin tanpa janji temu.

Mulai 2 Ogos, republik itu membenarkan penduduk yang memenuhi syarat untuk walk-in ke mana-mana dari 11 pusat vaksinasi komuniti yang menawarkan vaksin Covid-19 Moderna.

Sehingga 8 Ogos, 70% rakyat Singapura sudah lengkap divaksin di bawah program vaksinasi kebangsaa dan 79% lagi telah menerima sekurang-kurangnya satu dos. – Bernama, 10 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen