2 filem atas nama ‘Chinese Taipei’, Taiwan tuntut pembetulan


Dokumentari "The Night" arahan Tsai Ming-liang dan drama "The Falls" yang dihasilkan Chung Mong-hong dihantar mewakili Taiwan. – Gambar AFP, 10 Ogos 2021.

TAIWAN menuntut penganjur Festival Filem Venice membuat pembetulan selepas menyenaraikan dua filem yang mewakili kepulauan itu sebagai dari ‘Chinese Taipei’.

Penyenaraian dua filem berkenaan sebagai ‘Chinese Taipei’ didakwa selepas mendapat tekanan dari Beijing.

Dokumentari “The Night” arahan Tsai Ming-liang dan drama “The Falls” yang dihasilkan Chung Mong-hong dihantar mewakili Taiwan.

Bagaimanapun, penganjur menukar nama di laman web rasmi festival itu “susulan tunjuk perasaan China”, kata kementerian luar Taipei.

Timbalan Ketua Menteri Jabatan Hal Ehwal Eropah, Kendra Chen berkata pejabat perwakilan Taiwan di Itali telah meminta pembetulan segera dan buat masa ini belum mendapat sebarang maklum balas.

“Kami akan terus berkomunikasi dengan penganjur dan menuntut pembetulan melalui beberapa saluran untuk memastikan bahawa filem kami tidak akan ditindas tanpa sebab munasabah serta menjamin kedaulatan negara kami,” katanya pada taklimat media secara maya.

Filem arahan Jane Campion, Pedro Almodovar dan Paolo Sorrentino adalah antara filem yang bertanding pada edisi ke-78 festival itu September depan.

AFP telah menghubungi pihak penganjur festival filem untuk mendapatkan komen.

Tsai yang merupakan anak kelahiran Malaysia dan kini menetap di Taiwan adalah salah seorang pengarah terkenal diperingkat antarabangsa.

Filem ciptaannya tahun 1994 bertajuk “Vive L’Amour” memenangi anugerah Golden Lion di Venice manakala “Stray Dogs” pula menerima Hadiah Utama Juri pada 2013.

Namun seniman Taiwan sering menganggap diri mereka dibekukan dari acara antarabangsa atau mewakili nama negara yang diterima Beijing.

Terdahulu, atlet dari Taiwan juga mesti bertanding dengan nama ‘Chinese Taipei’. – AFP, 10 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen