Pendatang mati dalam pusat tahanan, Jepun minta maaf


Kematian warga Sri Lanka dalam pusat tahanan di Jepun menyebabkan usul kontroversi memudahkan pengusiran pelarian dan pencari suaka dicadangkan kerajaan digugurkan. – Gambar AFP, 10 Ogos, 2021.

JEPUN pada Selasa meminta maaf atas kematian seorang wanita warga Sri Lanka di pusat tahanan imigresen dan berikrar mengubah sistem itu.

Menteri Kehakiman Yoko Kamikawa berkata laporan kes kematian yang berlaku Mac lalu melibatkan Wishma Sandamali,33, merumuskan yang beliau tidak menerima rawatan sewajarnya apabila kesihatannya semakin merosot.

Sandamali melarikan diri daripada perhubungan bermasalah dan meminta bantuan polis, dan ditahan kerana tinggal melebihi tempoh visa.

Beliau dilaporkan berulang kali mengadu sakit perut dan gejala lain sejak Januari, dan aktivis mendakwa beliau tidak diberikan penjagaan kesihatan mencukupi.

“Saya mengucapkan takziah kepada ibu dan keluarganya, dan saya meminta maaf kerana kehilangan nyawa di pusat tahanan,” kata Kamikawa.

Menteri itu berkata laporan tidak merumuskan tentang punca kematian Sandamali tetapi mendapati pusat tahanan di Nagoya, tengah Jepun “kekurangan sistem yang boleh menilai kesihatan tahanan dan menyediakan rawatan perubatan.”

“Saya sudah mengarahkan ketua agensi perkhidmatan imigresen untuk bertindak dan menyelia cawangan pusat tahanan sewajarnya,” kata Kamikawa.

“Kami akan melakukan pembaharuan bagi memastikan kejadian sama tidak lagi berulang.”

NHK melaporkan empat pegawai pusat tahanan itu “dihukum” kerana kes itu, tetapi tiada yang dipecat.

Aktivis hak asasi sudah lama mengecam keadaan pusat tahanan di Jepun termasuk sistem tindak balas pengawal tahanan terhadap situasi kecemasan.

Pada Mei, kerajaan membatalkan usul kontroversi untuk mengubah peraturan dalam pengendalian tahanan dan pengusiran pendatang selepas mendapat bantahan pembangkang disebabkan kes Sandamali.

Usul cadangan itu termasuklah memudahkan pengusiran pencari suaka yang tidak berjaya mendapatkan perlindungan, tindakan yang dikecam hebat kumpulan hak asasi yang meminta Jepun mengambil lebih ramai pelarian. – AFP,10 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen