Menunggu perdana menteri baharu


KESULTANAN Melayu Melaka merupakan pengasas sistem politik dan kerajaan di Tanah Melayu. Sewaktu zaman kegemilangannya, Melaka menjadi pusat penyebaran agama Islam yang terbesar di alam nusantara dan pusat perdagangan entrepot antarabangsa yang penting. 

Pemacu utama kedua-dua usaha ini adalah sultan Melayu yang bervisi dan berwawasan. 

Inilah yang menjadi batu asas sistem kesultanan yang berdaulat dan peradaban politik Malaysia, sehinggakan wujudnya hubungan simbiosis antara raja dan rakyat yang berpisah tiada. 

Perlembagaan Persekutuan menjamin hal ini, sekali gus melestarikan fungsi Yang di-Pertuan Agong sebagai pelengkap dan berperanan dalam proses semak dan imbang sistem pemerintahan demokrasi berparlimen.

Namun, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mencetuskan polemik dengan membatalkan ordinan darurat tanpa mendapat perkenan Agong. 

Perkara ini menimbulkan kerengsaan dalam kalangan rakyat yang dibadai pandemik tanpa surutnya ditambah pula dengan kebohongan menteri di Dewan Rakyat.

Di kala ini, ramai yang secara tiba-tiba menjadi pakar perundangan dan perlembagaan, gigih mencari perkara-perkara dalam perlembagaan yang mengehadkan kuasa Agong, antaranya memetik Perkara 40 yang menyebut Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah menteri. 

Nasihat

Namun berdasarkan prinsip perlembagaan, kedaulatan undang-undang mestilah menjadi keutamaan apabila memberi nasihat kepada Agong. Jemaah menteri tidak boleh memberi nasihat yang bertentangan dengan undang-undang negara. 

Memaksa baginda untuk menandatangani undur tarikh pembatalan Ordinan Darurat yang secara terang lagi bersuluh merupakan satu amalan yang tidak beretika dan boleh mencalarkan kredibiliti Agong.

Maka dalam hal ini, Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut kedaulatan, kuasa dan prerogatif Raja-Raja, boleh digunakan ketika menimbang nasihat daripada jemaah menteri. 

Seandainya ia masih dipersoalkan, Agong di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan boleh meminta Mahkamah Persekutuan memberi pendapat terhadap perkara-perkara berbangkit berkaitan perlembagaan.

Perlembagaan ini boleh dibaca dan ditafsir dengan pelbagai. Namun, bukankah titah Raja itu muktamad dan seharusnya dijunjung oleh orang Melayu?

Sedar atau tidak, tindakan Muhyiddin mencari ‘loophole’ dalam perlembagaan mengenai kuasa Agong dan Raja-Raja Melayu sungguh berbahaya. Ia boleh dijadikan precedent oleh mana-mana kerajaan pada masa akan datang untuk menidakkan kuasa Raja-Raja Melayu yang kini melindungi pelbagai perkara berkaitan kedaulatan negara dan juga hak-hak keistimewaan orang Melayu.  

Kerajaan gagal

Bukti kegagalan kerajaan telah dimanifestasikan oleh 400 rakyat yang bersatu hati melalui perhimpunan baju hitam atau “Keluar dan Lawan” pada 31 Julai lalu. 

Rakyat yang muak, marah dan kesal dengan pimpinan perdana menteri yang gagal dan biadab terhadap perlembagaan negara memprotes dan menzahirkan ketidakpuasan mereka di jalanan, meskipun masing-masing sedar akan bahaya yang perlu ditempuh kala pandemik yang kian menggila. 

Mereka telah hilang hormat terhadap kerajaan dan ini satu perutusan yang sangat jelas, titik akhir dan bukti penolakan terhadap kerajaan sedia ada. 

Namun, dalam kenyataan media pada 4 Ogos, perdana menteri tanpa sekelumit rasa bersalah dan bangga mengumumkan bahawa beliau masih mempunyai mandat untuk memimpin sehingga September apabila Parlimen kembali bersidang.

Bukankah jelas yang rakyat secara tuntasnya telah hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan perdana menteri? Tidak perlulah tunggu sehingga September. 

Undur sekarang

Sekaranglah masa terbaik untuk mengundurkan diri sebelum nasi menjadi bubur dan segala-galanya berubah menjadi terlalu hodoh. 

Mohon keampunan daripada Agong dan rakyat yang telah dikhianati. Sekurang-kurangnya, dengan perbuatan tersebut, masih ada sekelumit integriti yang boleh dikenang oleh rakyat sebagai mantan perdana menteri kelak. 

Kuasa dan pangkat bukan tiket untuk kita mendabik dada, berada di puncak dunia dengan kepala penuh percaturan untuk kekal di persada teratas selama-lamanya. 

Layang-layang yang mengambang tinggi di langit akan terjelepuk mencium tanah jua. Bersiap sedialah untuk turun daripada puncak apabila masa telah tiba kerana petanda demi petanda telah diberikan oleh rakyat.

Sabda Rasulullah dalam hadis Qudsi, Allah berfirman: “Akulah Allah! Tiada Tuhan melainkan Aku! Aku penguasa segala kerajaan dan Raja dari segala raja. Hati sekalian raja adalah dalam genggamanKu. Dan sesungguhnya sekalian hamba, jika mereka mentaatiKu, nescaya Aku akan menjadikan hati raja-raja mereka berbelas kasihan kepada mereka. 

“Dan sesungguhnya jika hamba-hamba itu menderhakaiKu, nescaya Aku akan menjadikan hati raja-raja mereka keras dan zalim, lalu menimpakan kepada mereka berbagai-bagai seksa. Maka, jangan bersusah payah mendoakan ke atas raja-raja itu, namun kerahkanlah diri kamu untuk memperbanyakan zikir dan taqarrub kepadaKu. Nescaya Aku akan melindungi kamu dari raja-raja kamu.” (Riwayat Thabrani)

Sesungguhnya, tiada pemerintah yang lebih sempurna dan agung daripada Allah. Dialah raja segala raja sekalian pelosok alam dan semesta. 

Para pemimpin perlulah memikul tanggungjawab sebagai naqib dengan ikhlas dan amanah. Rakyat pula sepatutnya mendukung setiap usaha kerajaan agar apa yang direncanakan dapat direalisasikan. 

Namun, hal ini hanya akan mampu tercapai apabila wujudnya kepercayaan dan toleransi yang utuh antara pemerintah dan rakyat. 

Malaysia bertuah mempunyai Agong sebagai payung negara yang melindungi dan mempertahankan kita daripada terpaan anasir-anasir asing yang negatif. 

Malaysia kini memerlukan seorang perdana menteri yang dapat menyatupadukan rakyat dan memberi jaminan segenap lapisan masyarakat berada dengan selamat di bawah payung yang nyaman dan meneduhkan itu. 

Bidaan kini dibuka! – 10 Ogos, 2021. 

* Aizat Fikri Nasir Fikri, bekas timbalan presiden Umno London.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen