KEPUTUSAN Putrajaya untuk melonggar sekatan pergerakan di negeri-negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya memberi kelegaan kepada sektor pelancongan, kata pengusaha hotel dan resort.
Kelonggaran kepada penerima vaksin lengkap di negeri terbabit membolehkan pengusaha secara beransur-ansur bersedia menerima lebih ramai pelancong tempatan dan asing apabila sektor itu dibuka sepenuhnya kelak, tambah mereka.
“Ada beberapa isu yang masih samar-samar yang perlu diperjelaskan, namun pengumuman ini satu berita baik. Akhirnya, ada cahaya di hujung terowong,” Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang K Raj Kumar memberitahu The Malaysian Insight.
Menurutnya, walaupun aktiviti pelancongan dibenarkan bermula hari ini, kerajaan masih belum mengeluarkan garis panduan mengenai penggunaan kemudahan di hotel seperti kolam renang.
“Tetamu tidak mungkin akan hanya duduk di dalam bilik, sudah tentu akan menggunakan kemudahan di hotel. Jadi, kerajaan perlu keluarkan garis panduan mengenainya,” kata Raj.
Beliau yang juga pengurus di The Light Hotel Penang di Seberang Jaya berkata, sebagai persiapan bagi menyambut ketibaan tetamu, pihak hotel telahpun melakukan proses sanitasi premis dan menyimpan makanan.
Hotel yang mempunyai 330 bilik itu sudah mula membuka tempahan, manakala kapasiti dewan makan dikurangkan sebanyak 50%.
“Kami akan teruskan proses sanitasi selang tiga jam sekali sebaik sahaja hotel beroperasi semula. Semua kakitangan juga diarahkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Mereka diwajibkan memakai pelitup muka, pelindung muka dan sarung tangan sepanjang masa,” jelasnya, menambah 90% daripada 220 kakitangan di hotel itu telah menerima dua dos vaksin Covid-19. Selebihnya masih menunggu tarikh janji temu.
“Kami sudah menerima beberapa tempahan tetamu.
“Tidak mengapa walaupun bermula agak perlahan kerana kalau ramai sangat pun kami bimbang timbul masalah pula. Ini secara tidak langsung membolehkan kami lebih bersedia memerima lebih ramai tetamu pada September atau Oktober apabila seluruh negara masuk ke Fasa 4,” kata Raj.
Ahad lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin umum kemudahan rentas daerah, makan di premis restoran dan pelancongan bagi negeri dalam Fasa 2 PPN dan seterusnya untuk individu menerima vaksin lengkap mulai hari ini.
Pengusaha premis pelancongan diwajibkan memeriksa sijil vaksin digital sebelum membenarkan tetamu masuk.
Selain itu, individu yang lengkap divaksin di negeri terbabit juga dibenarkan menjalankan aktiviti sukan individu, kata Muhyiddin.
Ia termasuk kegiatan mendaki, joging, tenis, berbasikal, badminton dan tenis perseorangan serta golf dan permotoran.
Pada masa ini, Lembah Kelang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Melaka dan Melaka kini dalam Fasa 1 PPN.
Negeri Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah kini dalam Fasa 2 manakala Perlis, Sarawak dan Labuan sudahpun dalam Fasa 3 sejak 4 Ogos.

Had jumlah tetamu
Pemilik Terrapuri Heritage Village di Setiu, Terengganu, Alex Lee, berkata hanya 15 daripada 22 vila diresortnya akan dibuka kepada tetamu.
“Kami hanya benarkan maksimum dua tetamu bagi setiap vila dan sehingga empat orang jika datang sekeluarga.
“Kami juga hanya buka satu daripada enam ruang makan terbuka,” katanya, menambah kesemua 15 kakitangan di resortnya telah menerima dua dos vaksin.
Terrapuri Heritage Village menawarkan rumah-rumah kampung tradisional berusia antara 100 hingga 200 tahun yang dijadikan vila penginapan.
Lee berkata, rumah-rumah tradisional ini dikumpulkan sejak 30 tahun lalu, dipulihkan, kemudian ditempatkan di resortnya yang menghadap Laut China Selatan.
Katanya, walaupun sektor pelancongan dibenar beroperasi semula di negeri Fasa 2 PPN, resort miliknya itu masih perlu bersaing dengan inap desa yang menawarkan harga penginapan yang jauh lebih murah.
“Kebanyakan pelancong memilih untuk menginap di inap desa kerana harga yang lebih murah. Sebab itulah banyak hotel dan resort terpaksa tutup.
“Terrapuri menawarkan penginapan tepi pantai dalam suasana terbuka. Pada pendapat saya lebih baik menginap di Terrapuri ketika wabak berbanding di hotel yang pengudaraannya dalam kawasan tertutup,” kata Lee.
Tambah Lee, resortnya mengalami kerugian mencecah RM500,000 kerana tidak dapat beroperasi sepanjang sekatan pergerakan. – 10 Ogos, 2021.
Komen