Tingkat keyakinan pengguna sebelum buka semula ekonomi, kata pakar


Bernard Saw

Keyakinan pengguna perlu dikembalikan terlebih dahulu sebelum ekonomi yang lumpuh akibat Covid-19 dibuka semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2021.

PUTRAJAYA perlu mengembalikan keyakinan pengguna terlebih dahulu sebelum membuka kembali ekonomi yang lumpuh akibat pandemik Covid-19, kata pakar industri.

Mereka berkata, orang ramai perlu terlebih dahulu mendapat keyakinan untuk keluar dan berbelanja bagi meningkatkan ekonomi.

Banyak sektor ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 – yang kemudiannya menjadi Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Jun – dan bimbang mereka tidak akan mempunyai pelanggan apabila dibuka semula.

Ini kerana kata mereka, jumlah kes yang meningkat sehingga 20,000 sehari menyebabkan pelanggan takut untuk keluar, malah pekerja juga mungkin takut untuk kembali bekerja.

Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Dewan Perniagaan Cina Bersekutu dan Industri Malaysia Koong Lin Loong berkata walaupun industri berharap kembali beroperasi tidak lama lagi, mereka juga harus mempertimbangkan keyakinan pelanggan.

“Pemulihan ekonomi akan bergantung pada keyakinan pengguna dan bukan sama ada membenarkan semua industri ini dibuka semula,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Industri tidak boleh bergantung pada pelaburan dan penggunaan asing apabila ekonomi dibuka semula. Kita perlu bergantung pada permintan domestik untuk memacu ekonomi.

“Dalam situasi sekarang, permintaan domestik terjejas. Walaupun kembali beroperasi, adakah anda fikir orang akan berani keluar?,” soalnya sambil menambah bahawa keadaan yang sama pada tahun lalu sangat berbeza.

Mengambil contoh industri makanan dan minuman, Koong mempersoalkan berapa ramai yang akan bersedia untuk keluar dan makan di restoran apabila dibenarkan kerana kes koronavirus masih begitu tinggi.

“Pandemik ini sudah mempengaruhi kepercayaan rakyat Malaysia,” katanya.

Koong berkata, ini juga menjadi cabaran terhadap ramai orang untuk kembali bekerja semasa wabak kerana bimbang akan penularan jangkitan.

“Walaupun sektor ekonomi dibuka semula, ramai yang takut kembali bekerja. Semua orang perlu memakai dua lapis topeng muka dan mereka paranoid merasakan orang di sekeliling mempunyai Covid-19,” katanya.

Selain hanya fokus pada pembukaan semula ekonomi, Koong berkata langkah-langkah harus dilakukan untuk memastikan selepas ekonomi pulih, ekonomi akan terus stabil seperti itu.

“Ia seperti menjaga orang sakit. Kita perlu membincangkan apa yang perlu kita lakukan selepas mereka pulih.

“Prosedur operasi standard (SOP) kita berubah dari hari ke hari, tetapi apa yang sebenarnya kita perlukan adalah pengaturan terperinci sehingga setiap industri memiliki SOP pencegahan pandemik sendiri,” katanya.

Koong mendesak kerajaan untuk mengikuti Hong Kong, United Kingdom dan negara-negara lain yang berjaya menyambung kembali operasi perniagaan.

Beliau juga meminta kerajaan mempertimbangkan kembali tindakan hukuman terhadap mereka yang melanggar SOP dan sebaliknya fokus untuk mendidik masyarakat dan pihak berkuasa mengenai undang-undang berkenaan.

Beliau menambah bahawa dalam melaksanakan SOP, kerajaan harus berunding dengan pihak berkepentingan industrii untuk secara konsisten memperbaharui langkah-langkah keselamatan.

“Hanya dengan melakukan ini, kita akan dapat menurunkan jumlah kes dan membenarkan ekonomi pulih,” katanya. – 10 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen