212 maut angkara Covid-19, 579 perlu ventilator, kata KP kesihatan


Raevathi Supramaniam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah dilaporkan hari ini menjadikan angka keseluruhan maut kini sebanyak 10,961. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2021.

JUMLAH maut akibat Covid-19 dalam 24 jam terakhir ini menurun kepada 212 selepas rekod tertinggi dicatat semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Semalam negara melaporkan 360 kematian, paling tinggi sejak pandemik melanda.

Dr Noor Hisham berkata jumlah dilaporkan hari ini menjadikan angka keseluruhan maut kini sebanyak 10,961.

Katanya lebih 1,000 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di mana lebih separuh daripada jumlah itu memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat hari ini, Dr Noor Hisham berkata, seramai 1,095 pesakit dimasukkan ke ICU sementara 579 pesakit memerlukan ventilator.

Tambahnya Selangor mencatatkan 76 kematian daripada 212 kematian dilaporkan hari ini.

24 kematian direkodkan di Johor, 20 di Kedah, 18 di Kuala Lumpur, 16 di Pahang, 14 di Negeri Sembilan, 12 di Pulau Pinang, 11 di Sabah, lapan di Melaka, lima di Terengganu, empat di Kelantan, dua di Perak dan masing-masing satu di Perlis dan Sarawak.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, 16 kes maut sebelum tiba di hospital.

Sementara itu, kes harian Covid-19 di Malaysia turun kepada 17,236 jangkitan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata lebih 50% jangkitan baharu berada dalam kategori 1, mereka yang tidak ada gejala.

Terdapat 8,641 (50.2%) pesakit dalam Kategori 1, sebanyak 8,223 (47.7%) dalam Kategori 2, 190 (1.1%) dalam Kategori 3, 57 (0.3%) dalam Kategori 4 dan 125 (0.7%) dalam Kategori 5.

Pesakit Kategori 2 Covid-19 ada gejala ringan, pesakit dalam Kategori 3 menghidap radang paru-paru, pesakit Kategori 4 memerlukan oksigen manakala Kategori 5 pesakit kritikal dan perlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 73.57% pesakit hari ini belum divaksinasi, justeru beliau menggesa orang ramai mendapatkan suntikan vaksin.

Dalam pada itu, kadar jangkitan (Rt) negara kini berada pada tahap 1.07. Negeri dengan Rt tertinggi iaah Kelantan (1.25), Terengganu (1.19) dan Sabah (1.17).

Hanya Labuan dan Perlis mempunyai Rt bawah 1.0. – 9 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen