KES harian Covid-19 di Malaysia terus menunjukkan trend menurun di mana 17,236 jangkitan dilaporkan dalam 24 jam terakhir ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Malaysia mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi pada 6 Ogos dengan 20,889 kes dilaporkan. Sejak itu, jumlah harian jangkitan dilaporkan menurun.
Dr Noor Hisham berkata, Lembah Klang terus menyumbang jumlah jangkitan tertinggi, dengan 7,307 kes.
Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi antara negeri negara dengan 5,740, disusuli Kuala Lumpur (1,567) dan Kedah (1,328).
Negeri lain yang melaporkan kes ialah Johor (1,232), Sabah (1,247), Sarawak (589), Negeri Sembilan (1,215), Pulau Pinang (908), Kelantan (914), Perak (935), Melaka (360), Pahang (604), Terengganu (510), Putrajaya (66), Perlis (22) dan Labuan (8).
Tambah Dr Noor Hisham, jumlah kes dilaporkan hari ini menjadikan beban jangkitan ditanggung negara kini sebanyak 1,279,776.
Sementara itu, sebanyak 24,542,437 dos vaksin Covid-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik di Twitternya memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 15,772,101 orang menerima suntikan dos pertama manakala 8,770,336 orang menerima dos kedua.
“Mengikut peratusan, 48.3% daripada populasi negara telah mendapat dos pertama, manakala 26.9% melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 mereka,” katanya.
Di Lembah Klang, yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, 6.2 juta orang telah menerima dos pertama, sementara 3.2 juta penduduk atau 51.5% telah melengkapkan vaksinasi mereka. – 9 Ogos, 2021.
Komen