Dr Mahathir, Mukhriz tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana untuk beri keterangan polis


Alfian Z.M. Tahir

Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Mukhriz Mahathir tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana untuk memberi keterangan kepada polis berhubung isu perarakan ahli Parlimen pembangkang ke bangunan Parlimen minggu lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 9 Ogos, 2021.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Mukhriz Mahathir tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana petang ini untuk memberi keterangan kepada polis berhubung isu perarakan ahli Parlimen pembangkang ke bangunan Parlimen minggu lalu.

Dr Mahathir, yang juga ahli Parlimen Langkawi dan Mukhriz yang merupakan ahli Parlimen Jerlun tiba kira-kira jam 2 petang tadi.

Isnin lepas, ahli Parlimen pembangkang disekat oleh polis daripada memasuki bangunan Parlimen dan diugut akan ditahan di sekatan jalan raya, selepas mesyuarat khas Dewan Rakyat ditangguhkan susulan jangkitan Covid-19 di situ.

Kesemua mereka dihalang memasuki Parlimen yang sepatutnya hari terakhir persidangan bagi membincangkan langkah-langkah Covid-19 dan pengisytiharan daurat.

Parlimen ditutup berikutan arahan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 31 Julai apabila terdapat jangkitan baharu Covid-19 melibatkan kakitangan Parlimen.

Sebelum pengumuman berkenaan, Parlimen ditangguhkan sebanyak lima kali pada 29 Julai apabila ahli Parlimen pembangkang menuntut kerajaan menjelaskan berkenaan isu pembatalan Ordinan Darurat yang tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang lain dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk disoal siasat berkenaan isu sama.

Ahli Parlimen lain yang dipanggil hari ini ialah Tan Kok Wai (Cheras), William Leong (Selayang), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Charles Santiago (Klang), Fuziah Salleh (Kuantan), Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat), Wong Chen (Subang) dan Sim Tze Tzin (Bayan Baru). – 9 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen