KEBAKARAN Dixie Fire yang melanda utara California menjadi insiden kedua terbesar dalam sejarah negeri, menurut pihak berkuasa.
Pihak berkuasa semalam melaporkan tiga individu hilang dan ribuan lagi terpaksa berpindah keluar untuk menyelamatkan diri susulan api semakin marak.
Setakat semalam, kebakaran itu memusnahkan 187,562 hektar kawasan berbanding hari sebelumnya 181,187 hektar, meliputi keluasan lebih besar daripada Los Angeles.
Dixie Fire adalah kebakaran hutan terbesar di Amerika Syarikat (AS), tetapi ia satu daripada 11 kebakaran hutan utama di California.
Hujung minggu lalu, kebakarannya mengatasi Mendocino Complex Fire 2018, sekali gus menjadikannya kedua terburuk dalam sejarah California.
Sabtu lalu, Gabenor California Gavin Newsom melawat bandar bersejarah Greenville yang terbakar, mengucapkan penghargaan kepada pasukan yang bertungkus lumus memadamkan kebakaran.
Katanya, pihak berkuasa perlu memberikan tumpuan kepada lebih banyak sumber untuk menguruskan hutan dan mencegah kebakaran.
Bagaimanapun, musim kemarau lebih panas yang berlaku mungkin secara langsung menyebabkan kebakaran hutan berpunca daripada perubahan iklim.
Kebakaran Dixie menyebabkan tiga anggota bomba cedera. Dilaporkan api dapat dikawal 21% semalam iaitu tidak berubah berbanding hari sebelumnya, lapor laman sesawang CalFire.
Kebakaran yang bermula 13 Julai lalu itu tidak berjaya dipadamkan dalam tempoh dua minggu.
Asap tebal mengakibatkan jarak penglihatan berbahaya kepada kru bomba di beberapa tempat selain kesukaran akses serta laluan curam.
Lapan kebakaran terbesar di negeri ini berlaku sejak Disember 2017 dengan kesan kebakaran masih ditinggalkan.
Ribuan penduduk yang menyelamatkan diri terpaksa berlindung di tempat tinggal sementara dan khemah tanpa dapat dipastikan sama ada rumah yang ditinggalkan masih selamat. – AFP, 9 Ogos, 2021.
Komen