High Noon September ini


SAYA selalu menyebut High Noon dalam tulisan. Saya menggunakan High Noon sebagai metafora. High Noon ini ialah sebuah filem Amerika Syarikat (AS) tahun 1952. Filem yang menang empat Oscar ini diarahkan oleh Fred Zinnemann. Lakon layar oleh Carl Foreman.

Penulis lakon layar ini dianggap kiri dan dituduh bersimpati dengan Parti Komunis Amerika yang mempengaruhi Hollywood pada ketika itu. Hasilnya – Foreman disenarai hitam dan namanya tidak dibenarkan muncul.

Filem The Bridge on The River Kwai (1957) arahan David Lean adalah filem dari United Kingdom (UK) yang memenangi tujuh Oscar. Ini juga hasil garapan lakon layar Foreman. Foreman ketika itu lari dari AS dan menumpang di UK.

Dalam filem ini nama Foreman tidak muncul. Yang muncul nama Pierre Boulle – penulis asal buku ini dalam bahasa  Perancis. Pierre Boulle ini disenaraikan sebagai penulis lakon layar The Bridge on The River Kwai walhal Pierre tidak tahu berbahasa Inggeris. Ini sejarah Perang Dingin.

High Noon ini berkisah tentang seorang sheriff di sebuah pekan kecil bernama Hadleyville. Sheriff pekan ini bernama Will Kane lakonan Gary Cooper. Kane baru berkahwin dengan Amy yang dimainkan Grace Kelley.

Kane yang baru berumah tangga ingin melepaskan jawatan. Kane mahu berladang dan memulakan kehidupan baru dengan isteri yang baru dinikahi. Tiba-tiba berita sampai Miller dan adiknya Ben bersama dua pembantu akan sampai dengan kereta api jam 12 tengah hari.

Mereka datang mahu membunuh Kane. Miller membalas dendam kerana Kane pernah menangkap memenjarakan Miller.

Keadaan menjadi tegang. Dari awal pagi hingga jam 12 tengah hari Kane dan Amy wajib membuat keputusan untuk menyelamatkan diri.

Metafora

Ketegangan inilah yang saya gunakan sebagai metafora politik Malaysia yang sedang berjalan di hadapan mata kita hari ini.

Ada ketegangan. Ada penjara. Ada dendam. Ada rampasan kuasa untuk memilih sheriff baru. Inilah tema High Noon, filem Fred Zinnemann.

High Noon Malaysia sedang ditonton bukan hanya warga Malaysia, malah High Noon Malaysia ini sedang  menjadi perhatian dunia. Dalam istilah filem apa yang kita lihat berlaku di hadapan mata kita hari ini adalah World Premier Grand Opening.

High Noon Malaysia semuanya bermula dengan tindakan gelojoh dan tidak sabar Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri. Anwar dan konco-konconya setiap minggu bersuara, melaung dan menjerit mengasak Dr Mahathir Mohamad untuk mengundur.

Inilah detik rakaman sejarah permulaan High Noon Malaysia. Anwar mahu menjadi sheriff baru yang memerintah Malaysia. Ada dendam terhadap sheriff lama.

Muncul watak sampingan – DAP di bawah pimpinan Lim Guan Eng dan Amanah di bawah pimpinan Mat Sabu. Dua watak ini hilang punca, apabila mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan.

Mat Sabu gagal memahami dan menghayati bagaimana Dr Mahathir memberi kepercayaan kepada parti Amanah. Sebuah parti muda yang pecah daripada parti Islam PAS. 

PRU14 menjadikan Melaka di bawah pimpinan Amanah. Mencurahkan air dari dalam tempayan Melaka ini mungkin akan mengambil satu masa jangka panjang untuk mengisinya kembali.

Guan Eng  dan konco-konconya juga tidak memahami apa yang ingin dan sedang dilakukan seorang atuk bernama Mahathir. Bumi terbelah dan langit bertaup sekali lagi tidak mungkin ada YB DAP yang akan dilantik sebagai menteri kewangan. 

Guruh berdentum

Guruh daripada Anwar memang hebat.

Kalaulah sekiranya Mat Sabu perkenan akan Hotel Carcosa Sri Negara untuk menjadi miliknya – si Anwar ini pasti akan bersetuju. Hanya dengan satu syarat, Mat Sabu akan terus membawa Amanah untuk menyokong Anwar menjadi perdana menteri.

Kalaulah Guan Eng meminta untuk menjadi tokan vaksin dari China – hak mutlak ini akan diberikan oleh Anwar. Hanya satu syarat, Guan Eng akan menyokong Anwar menjadi perdana menteri menggantikan Muhyiddin.

Guruh di langit berdentum lagi.

Najib, Zahid, Ahmad Maslan, Azeez Rahim dan sosok yang seirama akan dijanjikan syurga loka oleh Anwar jika mereka terus mengasak Muhyiddin untuk berundur.

Babak inilah yang menjadi latar belakang High Noon Malaysia sekarang.

Muhyicdin bukan Gary Cooper. Muhyiddin bukan Sheriff Will Kane. Muhyiddin sama seperti Abdullah Badawi. Muhyiddin dan Abdullah adalah Chance watak utama dalam filem Being There arahan Hal Ashby.

Filem komedi 1979 ini berkisah tentang Chance yang dimainkan Peter Seller. Chance seorang tukang kebun akhirnya menjadi presiden AS – kerana bernasib baik “dia berada di tempat itu pada ketika dan masa yang tepat”.

Abdullah dan Muhyiddin menjadi perdana menteri Malaysia kerana nasib baik – mereka berada di tempat itu pada masa dan ketika yang tepat. Khalas.

Dalam membuat kerja politik dan dalam kehidupan pasti kita ada membuat silap. Ini perkara biasa. Jika kita tidak membuat silap maknanya kita tidak hidup. Tanpa silap maknanya kita melayari hidup tanpa melakukan apa-apa. Kita hanya mengikut arus. 

Salah dan kesilapan dalam kehidupan, kita sendiri yang membayarnya. Kita yang mendapat pengajaran daripada kesilapan itu. Kesilapan menjadi guru mengajar kita.

Silap langkah politik

Dalam politik, silap langkah politik atau silap garis politik tidak semudah kesilapan dalam kehidupan individu. Harga silap langkah politik mahal sekali.

Kesilapan Mat Sabu dan Guan Eng memasang  telinga mendengar guruh di langit membawa malapetaka. Harga kesilapan pendengaran bunyi guruh di langit ini sedang dibayar dengan harga yang mahal sekali.

Silap garis politik yang dilakukan pemimpin politik bukan hanya dibayar ahli parti politik. Harganya dibayar kita semua. Rakyat Malaysia anak semua bangsa dan bangsa semua agama sedang membayarnya sekarang.

High Noon yang kita saksikan sekarang – angka tinggi serangan virus korona dari Wuhan adalah juga hasil kesilapan garis politik. Jangan lupa fakta dan rakaman sejarah – kita melihat virus korona Wuhan meledak merebak sesudah Pilihan Raya Negeri Sabah. 

Menunggu 6 September

Kalau dalam filem High Noon, jam sedang menunjukan 11.30 pagi. Dalam masa 30 minit Frank Miller dan gerombolannya akan sampai. Dalam politik Malaysia tengah hari tepat ialah Isnin 6 September 2021. Kurang lebih satu bulan sebelum “peluru meledak” menembak mati sheriff lama.

Tarikh 6 September, 2021 adalah tarikh Parlimen bersidang dengan agenda utama – keabsahan sokong ahli Parlimen kepada Muhyiddin.

Perkara sama ada Muhyiddin ini ada sokongan Yang Berhormat sudah lama berlarutan. Sejak Muhyiddin menduduki kerusi perdana menteri, keabsahan sokongan terhadap dirinya terus dipersoalkan.

Pada hemat saya, persoalan keabsahan Muhyiddin ini menjadi agenda politik utama dan wajib diselesaikan dengan tuntas. Tapi ini tidak berlaku apabila virus korona dari Wuhan menyerang Malaysia.

Virus ini bukan hanya mengganggu Malaysia malah seluruh dunia sedang diganggu gugat oleh virus korona dari Wuhan ini.

Muhyiddin mengambil langkah memperkenalkan darurat. Kali pertama cadangan Muhyiddin ini gagal. Agong tidak berkenan.

Angka warga yang sakit dan angka warga yang tewas melonjak naik. Ini juga akibat daripada garis politik yang salah. Jangan terlupa PRN Sabah.

Kali kedua permintaan Muhyiddin diperkenankan Agong. Rakyat bersimpati dengan langkah darurat yang diambil. Darurat yang diumumkan untuk melawan virus korona dari Wuhan disokong rakyat. 

Populariti Muhyiddin melonjak naik. Muhyiddin dilihat sedang melakukan sesuatu untuk melawan virus korona. Antara kesihatan dan keselamatan diri dengan hak bersuara di Parlimen – orang ramai memilik hak untuk hidup sihat. Ini hakikat.

Terbarai

Sayang seribu kali sayang, sokongan rakyat terhadap darurat Muhyiddin mula pupus – lingkup – bertaburan terbarai.

Kes pertama bermula apabila Menteri Perdagangan dan Komoditi Khairuddin Takiri membuat perangai hodoh. Bukan saja bebal malah bersikap angkuh yang menyakitkan hati orang ramai. Dengan sikap bodoh sombong menteri ini memperlekehkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tidak cukup dengan ini beberapa menteri dan orang kenamaan terus melanggar PKP dalam masa darurat.

Tidak cukup dengan menteri berperangai hodoh lagi bebal tetiba Malaysia dikejutkan dengan sikap angkuh lagi bebal Menteri Besar Kedah. Hujah sombong bodoh dan bangang yang dijeritkan menteri besar ini menyakitkan hati orang ramai yang kini semakin terdesak hidup.

Kebencian rakyat terhadap tingkah laku pemimpin PAS ini menjemput Ku Li untuk menyamakan parti Islam ini sama dengan watak pelacur. Watak pelacur ini juga wujud dalam High Noon Fred Zinnemann.

Pada masa sama Mat Motor, pelajar dan Minah Kilang dikenakan denda kerana melanggar PKP. Tidak cukup dengan memberi kompaun Mat Motor, seorang Abang Burger dikompaun RM50,000 kerana tidak menutup warung burger pada waktu ditetapkan walhal Abang Burger ini seorang diri.

Muhyiddin senyap membisu.

Warga kayangan

Akhirnya dalam darurat ini muncul istilah “warga kayangan” yang memberi makna rakyat biasa akan didakwa kerana melanggar PKP – warga kayangan – tidak akan diganggu gugat.

Perangai menteri dan warga kayangan ini menjadikan rakyat mual dan benci terhadap apa saja inisiatif yang cuba dilakukan Muhyiddin. Semua kerenah menteri dan menteri besar dibayar dengan harga mahal oleh Muhyiddin.

Rakyat melihat darurat gagal. Rakyat melihat kerajaan gagal. Kegagalan ini menyerlah sekali sehinggakan Mat Rempit dari Batu Pahat keluar dengan sepanduk – Kerajaan Gagal.

Ini diikuti kempen Bendera Putih tanda orang ramai perlukan bantuan. PAS yang claim berlandaskan ajaran Islam bukan menyambut bendera putih ini dengan ahlan wa sahlan hati terbuka.

Parti yang disamakan sebagai parti pelacur oleh Ku Li ini menolak kempen bendera putih. PAS menganggap kempen bendera putih ini sebagai gerakan anti-kerajaan.

Justeru muncul gerakan Bendera Hitam yang dipelopori anak muda cool – yang melihat jalan raya sebagai Parlimen rakyat. Slogan Mat Rempit Batu Pahat kini menjadi slogan negara – Kerajaan Gagal.

Muhyiddin pula dilihat lembab tidak memiliki cara pimpinan yang meyakinkan dalam suasana darurat untuk menangkis serangan virus korona.

Malah Muhyiddin menjadi bahan lawak kerana tidak berani berhadapan dengan wartawan.  Muhyiddin hanya berupaya mengeluarkan pengumuman. Justeru warga Internet menobatkan sebagai menteri pengumuman.

Tidak cukup dengan semua ini kes Muhyiddin diserang cirit birit. Berita cirit birit ini menjadi lawak dunia. Kerana belum pernah berlaku seorang pemimpin negara diumumkan diserang cirit birit.

Cirit birit adalah sakit orang kampung yang makan jeruk petai atau gulai basi. Perdana menteri atau presiden sesebuah negara seharusnya hanya diumumkan ke hospital atas arahan doktor untuk pemeriksaan. Bukan kena cirit birit untuk mengelak bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong.

Tidak perlu dalih lagi

Detik berubah. Jam berjalan. Hari berganti. Semua ini mendekatkan lagi kita kepada High Noon 6 September 2021.

Muhyiddin tidak perlu berdalih lagi. Tidak perlu mencari alasan untuk menunda High Noon Malaysia yang pasti akan sampai.

Dalam High Noon garapan Fred Zinnemann kita melihat bagaimana satu demi satu penyokong  Sheriff Will Kane menjadi takut dengan ancaman samseng kaki busuk Miller dan gerombolannya.

Tuan Hakim Percy Mattrick yang menjatuhkan hukuman kepada Miller enggan membantu Kane. Dia cabut  lari menyelamatkan diri. Harvey Pell, timbalan Kane, hanya akan membantu Kane jika Kane menyerahkan lencana sheriff  kepada dirinya.

Semua yang berlaku dalam High Noon Fred Zinnemann ini sedang kita perhatikan berlaku dalam High Noon Malaysia.

Watak belot, watak penakut, watak setia , watak oportunis, watak gila  kuasa – semua digarap oleh penulis kiri bernama Foremann.

Pada hemat saya, krisis keabsahan Muhyiddin ini jangan diperlanjutkan lagi. Mudarat yang dibawa agenda keabsahan ini sedang membawa malapetaka ke atas Malaysia.

Kita – anak semua bangsa dan bangsa semua  agama – sedang membayar harga yang amat mahal sekali. Yang tewas bertambah. Yang membunuh diri meningkat. Yang sakit bertambah. Semua hasil serangan virus korona dari Wuhan. Pada masa sama, para politikus berebut kuasa.

Justeru saya menyeru Muhyiddin wajib menjadi matador. Hadapi lembu itu. Sama ada Muhyiddin akan dibantai oleh lembu itu atau lembu itu akan rebah semuanya bergantung.

Bergantung pada apa? Bergantung pada hukum politik – satu minggu terlalu lama dalam politik. Bergantung pada apa lagi?  

Tunggu minggu hadapan. – 9 Ogos, 2021.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen