RAKYAT Perancis bermula hari ini perlu menunjukkan pas kesihatan untuk menjalani aktiviti rutin seperti minum kopi di cafe atau menaiki kereta api antara bandar.
Ia pelan yang dikuatkuasakan oleh Presiden Emmanuel Macron bagi menyekat penularan Covid-19 dan menggalakkan penduduk negara itu mengambil suntikan vaksin.
Kerajaan meluaskan arahan menunjukkan pas kesihatan di kafe, restoran dan perjalanan antara bandar, walaupun protes diadakan selama empat hujung minggu berturut-turut yang menyaksikan hampir suku juta penduduk di seluruh negara mengadakan tunjuk perasaan.
Macron yang meluahkan rasa kecewa terhadap protes itu berharap pelan itu akan menggalakkan pengambilan vaksin dan membendung gelombang keempat koronavirus di Perancis dalam strategi hampir serupa dilakukan di negara jirannya iaitu Itali dan Jerman.
Pas kesihatan itu dalam bentuk kod QR, mengandungi syarat sama ada individu itu sudah mengambil vaksin penuh, slip ujian negatif Covid-19 yang terbaru atau bukti pulih daripada Covid-19.
Kerajaan menjangkakan tempoh seminggu untuk pengguna dan perniagaan biasa dengan peraturan baharu itu.
“Pas itu dan kempen vaksinasi sepatutnya akan dapat membantu kita mengelak perintah berkurung dan sekatan pergerakan,” kata Menteri Kesihatan Olivier Veran. – AFP, 9 Ogos, 2021.
Komen