SERAMAI 22 terbunuh dalam insiden pergaduhan antara petani dan penggembala di Chad semalam, kata pihak berkuasa.
“Konflik berpunca daripada pertikaian tanah antara dua komuniti, dengan satu pihak mahu berpindah masuk dan yang satu lagi mahu menghentikan mereka,” kata Gabenor Wilayah Hadjer-Lamis Amina Kodjiana.
Beliau berkata pergaduhan sejak Sabtu itu membabitkan penduduk Boulala yang menetap di kawasan itu menentang orang Arab nomad di kampung Zohana, kira-kira 200km dari timur ibu kota N’Djamena.
Sementara 18 yang lain cedera, katanya.
Jurucakap kerajaan Abdramane Koulamallah berkata pasukan tentera dikerahkan ke kawasan itu untuk mengawal ketenteraman.
Keganasan antara komuniti adalah perkara biasa di tengah dan selatan Chad, di mana ramai penduduk ada menyimpan senjata.
Ketegangan antara penduduk asli petani dan penggembala Arab nomad di Sahel berlarutan sejak bertahun lalu dan ada kalanya meletuskan pertempuran yang mengorbankan nyawa.
Kebanyakan insiden sering dikaitkan dengan skrip sama: penggembala, kadang-kalanya kerana melintasi sempadan dari Sudan, merosakkan tanaman dan mencetuskan konfrontasi dengan masyarakat tempatan. – AFP, 9 Ogos, 2021.
Komen