3 lagi bandar Afghanistan ditawan Taliban


Kumpulan pemberontak menawan lima bandar di Afghanistan sejak Jumaat dalam serangan berterusan yang menyaksikan pasukan tentera kalah. – Gambar fail AFP, 9 Ogos, 2021.

TALIBAN menawan tiga lagi bandar di wilayah utara Afghanistan semalam selepas menguasai sebahagian besar kawasan luar bandar dalam tempoh beberapa bulan.

Kumpulan pemberontak itu menawan lima bandar sejak Jumaat dalam serangan berterusan yang menyaksikan pasukan tentera kalah.

Konflik Afghanistan yang sudah lama berlarutan semakin meningkat sejak Mei, ketika tentera asing dalam peringkat akhir pengunduran yang dijangka selesai akhir bulan ini.

Kunduz, Sar-e-Pul dan Taloqan di wilayah utara ditawan dalam beberapa jam semalam, menurut wakil rakyat, sumber keselamatan dan penduduk di bandar terbabit.

Di Kunduz, seorang penduduk menggambarkan keadaan bandar itu yang dilanda kekacauan.

“Selepas beberapa pertempuran sengit, pejuang berjaya menawan ibu kota Kunduz.

“Kami juga menawan bandar Sar-e-Pul, bangunan kerajaan dan semua pangkalan di sini,” kata Taliban dalam satu kenyataan.

Pemberontak menerusi Twitter lewat berkata mereka juga menawan Taloqan, ibu kota wilayah Takhar.

Seorang aktivis hak asasi wanita di Sar-e-Pul, Parwina Azimi berkata pegawai kerajaan dan pasukan tentera berundur ke berek tentera kira-kira 3km dari bandar terbabit.

Kunduz adalah ibu kota paling penting Taliban sejak serangan bertubi-tubi pada Mei lalu yang menjadi sasaran utama pemberontak, yang pernah menawan bandar itu pada 2015 dan 2016.

Kementerian Pertahanan berkata tentera akan berjuang untuk menawan kembali pangkalan utama itu. – AFP, 9 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen