PIHAK berkuasa Wuhan melakukan saringan Covid-19 terhadap lebih 11 juta penduduk susulan lonjakan kes itu.
Saringan bermula Selasa lalu meliputi semua penduduk di bandar itu kecuali kanak-kanak berusia bawah enam tahun dan pelajar yang sedang bercuti, kata pegawai kanan Wuhan Li Tao seperti dilaporkan media Xinhua.
Sehingga Sabtu lalu, bandar itu merekodkan 37 kes penularan tempatan dan merekodkan 41 kes indeks tanpa gejala dalam ujian saringan besar-besaran itu.
Minggu lalu, pihak berkuasa mengumumkan terdapat tujuh kes jangkitan dicatatkan dalam kalangan pekerja migran di Wuhan, sekali gus memecahkan rekod tanpa kes tempatan sejak perintah berkurung dikuatkuasakan awal 2020.
Pihak berkuasa menggerakkan lebih 28,000 petugas kesihatan di sekitar 2,800 kawasan untuk melaksanakan saringan.
China berjaya menurunkan kes tempatan sehingga ke paras sifar selepas kes pertama muncul di Wuhan akhir 2019, sekali gus membolehkan ekonomi kembali berkembang dan kehidupan kembali normal.
Bagaimanapun penularan baharu itu merencatkan rekod yang dicapai susulan penularan pantas varian Delta yang kini merebak ke puluhan bandar selepas jangkitan berlaku dalam kalangan pekerja pembersihan lapangan terbang di Nanjing.
Sejak itu, China melaksanakan sekatan pergerakan ke atas penduduknya dengan mengarahkan mereka berada di rumah, memutuskan hubungan pengangkutan dan melakukan saringan besar-besaran bagi membendung penularan.
Beijing juga memperketatkan sekatan perjalanan luar negara bagi warganya sebagai langkah mengekang peningkatan kes.
Pihak berkuasa Imigresen China mengumumkan negara itu akan menghentikan pengeluaran pasport biasa dan dokumen lain yang diperlukan untuk keluar negara bagi kes tidak penting dan bukan kecemasan. – AFP, 9 Ogos, 2021.
Komen