MALAYSIA hari ini melaporkan jumlah rekod 360 kematian berkaitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian kepada 10,749.
Jumlah hari ini dicatat ketika kerajaan memberi kelonggaran kepada rakyat yang sudah melengkapkan dua dos vaksin di negeri yang berada di bawah Fasa 2 dan ke atas dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Sebanyak 18,688 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini. Daripada jumlah itu, Nor Hisham berkata 401 pesakit atau 2.1% adalah mereka yang berada dalam kategori 3, 4 dan 5 manakala 18,287 atau 97.9% dalam kategori 1.
Pesakit kategori 1 tidak bergejala manakala kategori 2 menunjukkan gejala ringan. Pesakit kategori 3 mempunyai pneumonia, pesakit kategori 4 memerlukan bantuan oksigen manakala kategori 5 menggunakan ventilator.
Noor Hisham berkata, 4,460 daripada pesakit Covid-19 hari ini sudah menerima vaksin.
Selangor merekod jumlah kematian terbesar hari ini, melaporkan 221 kematian daripada keseluruhan 360.
Kematian dua angka dicatat di Kuala Lumpur (41), Melaka (20), Perak (17), Pulau Pinang (15) dan Johor (14).
Ada tujuh kematian di Kedah, enam di Negeri Sembilan dan Pahang, lima di Sabah dan Terengganu serta dua di Putrajaya dan Kelantan.
Kadar jangkitan ketika ini dicatat pada bacaan 1.08. Negeri dengan kadar jangkitan tertinggi adalah Perlis (1.47), diikuti Kelantan (1.25) dan Sabah serta Pulau Pinang (1.18).
Di sebalik kadar jangkitan tinggi, Kelantan, Sabah dan Pulau Pinang sudah beralih ke Fasa 2 dalam PPN manakala Perlis di Fasa 3. – 8 Ogos, 2021.
Komen