PENUNJUK perasaan Myanmar menyambut ulang tahun pemberontakan prodemokrasi 1988 yang menjulang nama Aung San Suu Kyi dengan rama-ramai berhimpun dan berarak menentang junta.
Negara itu berada dalam kekacauan sejak tentera mengambil alih pemerintahan pada Februari diikuti tindakan keras terhadap perbezaan pendapat selain membunuh lebih 900 orang, menurut sebuah kumpulan pemantau tempatan.
Namun para penunjuk perasaan tidak gentar, mereka turun ke jalan raya setiap hari menuntut Majlis Pentadbiran Negara ditamatkan.
Pada Ahad, gerakan rakyat berhimpun di Yangon dan Mandalay untuk memperingati pemberontakan 1988 di mana sebuah gerakan prodemokrasi besar-besaran ditumpaskan tentera secara ganas dengan melepaskan tembakan ke atas penunjuk perasaan dan memenjarakan ribuan orang.
Berikutan seruan kempen dalam talian, penunjuk perasaan berpakaian merah pada Ahad menunjukkan salam lapan jari selain membawa sepanduk bertulis “Mari kita bayar balik hutang darah tahun 1988 pada tahun 2021.”
“Pada 1988, ramai rakyat kita terkorban, ramai hilang nyawa. Tetapi pemerintahan diktator masih hidup,” kata Ko Sai Win, yang menyertai demonstrasi di Mandalay.
“Ini seperti bayangan hitam di negara kita.”
Pemberontakan 1988 menandakan kebangkitan Suu Kyi, yang telah kembali ke Myanmar sebelum protes bermula bagi menjaga ibunya yang ketika itu sedang sakit.
Berkat kedudukannya sebagai anak Jeneral Aung San, yang memperjuangkan kemerdekaan menentang British, dan ucapannya yang menggetarkan, Suu Kyi muncul sebagai ikon prodemokrasi sehingga dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan.
Bayangan “Kerajaan Perpaduan Nasional”, yang sebahagian besarnya dibentuk oleh ahli Parlimen dari partinya yang digulingkan, berikrar dalam satu kenyataan pada Ahad untuk meneruskan perjuangan demokrasi.
Duta besar Britain ke Myanmar Peter Vowles juga menyuarakan sokongan terhadap gerakan antijunta.
“UK berdiri teguh dengan rakyat Myanmar pada 1988 dan hari ini kita bersama mereka,” katanya dalam video yang disiarkan di Twitter rasmi kedutaan Britain.
Junta menggunakan alasan penipuan pilihan raya oleh parti NLD pimpinan Suu Kyi bagi membenarkan rampasan kuasa dibuat, dan pemenang Nobel itu kemudiannya berhadapan sejumlah tuduhan termasuk pemilikan walkie-talkie secara haram dan melanggar peraturan Covid-19. – AFP, 8 Ogos, 2021.
Komen