ARAB Saudi akan mula menerima permohonan jemaah umrah antarabangsa yang lengkap divaksin esok selepas kira-kira 18 bulan sempadan negara itu ditutup akibat pandemik Covid-19, lapor Saudi Press Agency.
Jumlah kehadiran jemaah akan ditingkatkan sehingga 2 juta orang setiap bulan, kata laporan itu.
“Kementerian Haji dan Umrah umum akan mula menerima jemaah umrah daripada kalangan rakyat dan penduduk tempatan.
“Ia juga secara berperingkat akan menerima permohonan umrah daripada pelbagai negara di seluruh dunia,” lapor Saudi Press Agency.
Pada masa ini Arab Saudi mengendalikan 60,000 jemaah yang diuruskan mengikut giliran dalam lapan kelompok, sejak membuka semula tanah suci kepada jemaah dalam negara pada Oktober 2020.
Jemaah umrah antarabangsa diwajib menyertakan sijil pengesahan vaksinasi daripada pihak berkuasa kesihatan negara masing-masing pada borang permohonan mereka, kata pegawai kementerian haji dan umrah.
Pada Julai lepas, Arab Saudi mengumumkan turut menerima jemaah yang menerima vaksin Sinovac dan Sinopharm selain empat jenis vaksin yang diiktiraf sebelumnya iaitu Pfizer, Moderna, AstraZeneca, dan Johnson & Johnson.
Bagaimanapun jemaah dari negara yang tersenarai dalam sekatan perjalanan Arab Saudi akan diwajibkan menjalani kuarantin bagi tempoh tertentu sebaik tiba di negara itu.
Untuk tahun kedua tahun ini, Arab Saudi membenarkan ibadah haji hanya kepada jemaah yang menetap di negara itu dengan jumlah yang terhad bagi membendung penularan Covid-19. – 8 Ogos, 2021.
Komen