Protes makin besar bantah pas vaksin di Perancis


Kira-kira 237,000 peserta protes di seluruh Perancis termasuk 17,000 di Paris melakukan tunjuk perasaan, bantah pas kesihatan yang diwajibkan kepada semua penduduk. – Gambar AFP, 8 Ogos, 2021.

HAMPIR suku juta penduduk Perancis turun ke jalanan semalam mengadakan protes terbesar setakat ini terhadap pas kesihatan koronavirus yang diperlukan untuk masuk ke kafe atau menaiki kereta api antara bandar, dua hari sebelum peraturan itu dikuatkuasakan.

Protes sama tetapi dengan jumlah peserta lebih kecil turut diadakan di Itali.

Diketuai Presiden Emmanuel Macron, penguasa Perancis mewajibkan penduduk mendapatkan suntikan penuh vaksin Covid-19 atau ujian saringan negatif terbaru bagi membolehkan mereka menjalani aktiviti rutin.

Macron yang bakal menyertai pilihan raya presiden sekali lagi tahun depan, berharap untuk menggalakkan penduduk mengambil suntikan vaksin bagi menewaskan virus itu terutama varian Delta.

Tetapi pembangkang – yang kini sudah mengadakan empat protes pada hujung minggu secara berturut-turut – berkata peraturan itu melanggar hak asasi dan kebebasan rakyat.

Kira-kira 237,000 peserta protes di seluruh Perancis termasuk 17,000 di Paris melakukan tunjuk perasaan, kata kementerian dalam negeri, jumlah yang mengatasi angka minggu lalu iaitu 204,000 orang.

Dalam salah satu protes di Paris, ratusan peserta berarak dari bahagian barat ke tengah bandar, melaungkan “Bebas” dan “Macron, kami tidak mahu pas anda”.

Bermula esok, pas kesihatan itu diperlukan untuk makan di restoran atau minum kopi di kafe – sama ada di dalam bangunan atau bahagian luar. Ia diwajibkan bagi menaiki kereta api laju antara bandar dan penerbangan domestik.

Pas itu sudah mula diperlukan sejak 21 Julai bagi memasuki lokasi seperti panggung wayang, auditorium dan muzium. – AFP, 8 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen