Selepas 7 tahun diculik militan Boko Haram, pelajar dibebaskan


Hampir 300 pelajar perempuan diculik Boko Haram pada April 2014 di Chibok, mencetuskan kemarahan antarabangsa dan mencetuskan kempen pembebasan mereka #BringBackOurGirls. – Gambar AFP, 8 Ogos, 2021.

SALAH seorang daripada pelajar perempuan di Chibok, tenggara Nigeria yang diculik militan Boko Haram lebih tujuh tahun lalu akhirnya dibebaskan dan dikembalikan kepada keluarganya, kata pihak berkuasa gabenor.

Hampir 300 pelajar perempuan berumur antara 12 dan 17 tahun diculik Boko Haram pada April 2014 di Chibok, mencetuskan kemarahan antarabangsa dan mencetuskan kempen pembebasan mereka #BringBackOurGirls.

Selama bertahun-tahun ramai mangsa dibebaskan atau ditemui oleh tentera, tetapi lebih 100 daripadanya masih hilang, kata Amnesty International pada April, ketika memperingati ulang tahun ketujuh insiden penculikan itu.

Gabenor negeri Borno Babagana Umara Zulum dalam satu kenyataan berkata Ruth Ngladar Pogu menyerah diri ke tentera bulan lalu bersama seseorang yang didakwa sebagai suaminya.

“Saya sangat teruja sebagai gabenor Borno, dan juga bapa kepada semua anak negeri ini,” kata kenyataan itu.

“Saya faham perasaan keluarga yang masih kehilangan anak mereka, tetapi kita perlu kekal berharap terutama dengan perkembangan hari ini.”

Pejabat gabenor berkata mangsa datang kepada tentera pada 28 Julai. Tetapi pihak berkuasa tidak memberitahu perkara itu lebih awal untuk membolehkan mereka menghubungi ibu bapa mangsa.

Tentera Nigeria masih berperang untuk mengakhiri kebangkitan miitan di tenggara negara itu, konflik yang menyebabkan 40,000 terkorban dengan lebih dua juta yang lain hilang tempat tinggal.

Penculikan beramai-ramai di Nigeria sekali lagi mendapat perhatian antarabangsa tahun ini apabila sekumpulan penjenayah bersenjata menyasarkan sekolah dan kolej untuk menculik dan menuntut tebusan.

Hampir 1,000 pelajar diculik sejak Disember, kebanyakannya di barat daya dan tengah negara ini. Kebanyakan sudah dibebaskan tetapi masih ada yang ditawan. – AFP, 8 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen