LEBIH 1,000 rumah musnah dan kira-kira 5,000 penduduk dipindahkan di Korea Utara susulan banjir berlaku selepas hujan lebat, lapor stesen televisyen negara itu.
Korea Utara pada Jun mengakui ia sedang menangani krisis makanan. Banjir kali ini menenggelamkan kebun tanaman petani.
Bulan lalu, Organisasi Pertanian dan Makanan PBB meramalkan Korea Utara bakal berdepan kekurangan makanan kira-kira 860,000 tan tahun ini, memberi amaran negara itu akan mengalami tempoh sukar.
Rakaman daripada KCTV, stesen televisyen Pyongyang menunjukkan rumah tenggelam hingga ke paras bumbung, dengan banyak jambatan rosak.
Laporan itu berkata ratusan hektar kebun tenggelam atau hilang terus dibawa air di selatan wilayah Hamgyong, selain ratusan rumah dan jalan raya rosak teruk.
Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mengeluarkan arahan supaya bantuan diberikan kepada wilayah itu.
Dengan keadaan seperti itu, hujan lebat yang berterusan akan menyebabkan kerosakan lebih buruk, kata jurucakap agensi meteorologi Ri Yong Nam.
“Hujan lebat dijangka hingga 10 Ogos di beberapa wilayah, terutama di akwasan pantai timur,” katanya.
Bencana alam biasanya memberi kesan lebih besar di negara yang terasing kerana infrastruktur yang lemah sementara pembersihan hutan menyebabkan ia terdedah kepada banjir.
Beberapa siri taufan pada musim panas lalu juga menyebabkan banjir dan merosakkan tanah kebun serta ribuan rumah. – AFP, 8 Ogos, 2021.
Komen