7 terbunuh rusuhan Myanmar, wakil rakyat ditahan


Polis mengawal kawasan bandar Mrauk U selepas penunjuk perasaan bertempur dengan pihak keselamatan menyebabkan tujuh terbunuh dan berpuluh yang lain cedera. – Gambar AFP, 18 Januari, 2018.

POLIS Myanmar pada Khamis menahan seorang wakil rakyat Buddha Rakhine kerana didakwa mencetuskan keganasan etnik, lapor media negara itu dan partinya selepas rusuhan maut menyebabkan ketegangan kaum semakin memuncak.

Penahanan itu berlaku selepas tujuh orang terbunuh dan berpuluh yang lain cedera apabila polis melepaskan tembakan kepada sekumpulan Buddha Rakhine yang menawan sebuah pejabat kerajaan Selasa lalu.

Keganasan itu tercetus ketika kemarahan semakin memuncak selepas pembatalan sebuah majlis di Mrauk U yang terletak tidak jauh daripada kawasan pembantaian tentera ke atas kumpulan minoriti Rohingya Islam.

Media negara itu melaporkan dakwaan sudah difailkan kepada seorang wakil rakyat Dewan Rendah, Aye Maung susulan ucapannya pada Isnin yang mengecam kerajaan kerana beranggapan penduduk Rakhine adalah “hamba” dan mengatakan “sudah sampai masanya” komuniti itu melancarkan pemberontakan bersenjata.

“Dr Aye Maung ditahan di rumahnya kira-kira jam 1 petang tengah hari tadi,” kata Setiausaha Agung Parti Nasional Arakan Tun Aung Kyaw kepada AFP.

Arakan adalah nama lain untuk Rakhine.

Polis menyalahkan penunjuk perasaan kerana mencetuskan keganasan pada Selasa lalu dengan melempar batu, merempuh masuk ke penjabat pentadbiran dan mengibarkan bendera Negeri Rakhine.

Ketua Umum Myanmar Aung San Suu Kyi meluahkan kesedihan dan berikrar akan “menyiasat kejadian itu”.

Aye Maung adalah wakil rakyat pertama ditahan sejak negara itu menjadi negara berpelembagaan disokong tentera pada 2008 dan didakwa di bawah Akta Perhimpunan Haram yang memperuntukkan penjara tiga tahun.

Keganasan itu menyebabkan kumpulan pemberontak Rakhine berjanji akan melancarkan serangan balas “serius”.

Tidak seperti Rohingya Islam, penduduk Rakhine diiktiraf oleh kerajaan sebagai kumpulan etnik tetapi seringkali dipinggirkan dalam sistem yang memihak kumpulan etnik Bamar (Burma).

Mereka didakwa bersubahat dengan tentera dalam pembunuhan, perogolan dan pembakaran penempatan Rohingya- 655,000 sudah melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos lalu- keganasan yang disifatkan PBB dan AS sebagai pembersihan etnik.

Rusuhan Selasa itu berlaku pada hari sama perjanjian pemindahan balik ditandatangani Myanmar dan Bangladesh bagi pelan penghantaran semula pelarian.

Pemerhati kini bimbang konflik itu akan bertambah buruk.

“Ada risiko kejadian ini akan menjadi penyebab kesengsaraan Rakhine dan situasi boleh bertambah buruk,” kata penganalisis politik Richard Horsey kepada AFP. – Gambar AFP, 18 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen