Hati-hati dengan penawar anti Covid-19, kata pakar perubatan Cina


Khoo Gek San

Sesetengah produk TCM boleh menguatkan tenaga dan meningkatkan imuniti. – Gambar EPA, 8 Ogos, 2021.

PENGAMAL perubatan tradisional Cina (TCM) menggesa pengguna untuk mendapatkan nasihat pakar perubatan bertauliah ketika laporan semakin meningkat mengenai orang ramai yang cuba mencari penawar anti Covid-19 atau rawatan selepas jangkitan.

Ubat tradisional hanya boleh diambil mengikut preskripsi individu yang diberikan oleh pengamal perubatan bertauliah, yang menilai setiap pesakit menurut keadaan individu itu sendiri, katanya.

Mereka menyedari semakin banyak video menggunakan rawatan TCM berlegar di media sosial, dengan sesetengahnya mendakwa ia boleh menjadi penawar anti Covid-19.

Presiden Persekutuan Pakar Perubatan Cina dan Persatuan Pengedar Ubatan Malaysia (FCPMDAM) Boon Yip Heng berkata sesetengah produk TCM boleh menguatkan tenaga dan meningkatkan imuniti, namun di sebalik dakwaan secara umum itu, rawatan itu hanya boleh diambil selepas konsultasi.

“Apabila ahli farmasi TCM bertanya pengguna di mana mereka mendapatkan preskripsi, mereka kata dapat daripada YouTube,” kata Boon.

Beliau berkata ramai yang datang mendapatkan rawatan untuk menangani batuk dan sesak nafas, yang boleh menjadi simptom Covid-19.

Sesetengahnya, yang pernah positif Covid-19 dan pulih, turut berterusan mengalami simptom sama dan mencari ubat untuk menangani kesan selepas jangkitan.

“Ahli farmasi TCM akan mengingatkan pengguna, individu dalam keadaan fizikal sebegitu tidak akan menemui ubat yang sesuai untuk digunakan.

“Bukan semua preskripsi sesuai untuk setiap orang,” kata Boon, menegaskan orang ramai mesti mendapatkan konsultasi pakar perubatan sebelum mengambil produk TCM.

Di sini, TCM tidak digunakan untuk merawat kes jangkitan Covid-19 dan pesakit dengan tahap jangkitan teruk mesti mendapatkan rawatan di hospital, kata Boon.

Bagaimanapun, sesetengah produk TCM boleh menjadi pelengkap kepada rawatan perubatan barat, katanya.

Presiden Persatuan Perubatan Cina Malaysia Dr Yong Wee Seong, menyedari kecenderungan orang ramai untuk beralih ke Internet bagi membeli ubat TCM sebagai langkah pencegahan virus Covid-19.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya mendapatkan khidmat nasihat pengamal TCM sebelum menggunakan ubat tradisional.

“Hanya pengamal perubatan bertauliah Cina yang boleh membuat penilaian tepat, boleh mencadangkan ubat yang tepat.”

Beliau berkata TCM boleh membantu menguatkan sistem imun badan jadi jika dijangkiti, simptom yang dialami tidak terlalu teruk. – 8 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen