Sultan Johor titah sektor swasta bantu tangani Covid-19 


Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah mana-mana rakyat di negeri ini yang memerlukan bantuan makanan boleh menghubungi Pejabat-Pejabat Daerah atau Pejabat Penghulu kawasan masing-masing.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2021.

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini bertitah menyarankan agar sektor swasta turut bersama-sama menyumbang bantuan dalam usaha menangani pandemik Covid-19 di negeri ini. 

Baginda bertitah sumbangan wang tunai daripada sektor swasta penting untuk memastikan sistem kesihatan hospital-hospital di Johor terus dilengkapi dengan pelbagai peralatan perubatan untuk terus merawat pesakit Covid-19.

“Kita perlu menangani Covid-19 secara bersama dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan, saya berharap sektor swasta turut tampil dalam menghulurkan bantuan kewangan supaya peralatan-peralatan perubatan dapat disampaikan kepada hospital.

“Sumbangan boleh disampaikan kepada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor untuk pembelian barangan perubatan, manakala sumbangan kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor akan digunakan untuk bantuan makanan kepada golongan memerlukan,” titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda, di Johor Bahru.

Sultan Ibrahim turut menerima permohonan bantuan senarai peralatan perubatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk menangani pandemik berkenaan termasuk katil, oxygen regulator (bull nose), oxygen regulator (pin index), oxygen flow meter, 10L cylinder medical oxygen gas/regulator/trolly, set tekanan darah tinggi dan sebagainya.

Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi RM5 juta bagi membeli peralatan untuk keperluan hospital-hospital di negeri ini.

Sektor swasta yang ingin menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor di talian 07-2355252 atau Yayasan Sultan Ibrahim Johor di talian 07-3564848.

Sultan Johor pada masa sama bertitah mana-mana rakyat di negeri ini yang memerlukan bantuan makanan boleh menghubungi Pejabat-Pejabat Daerah atau Pejabat Penghulu di kawasan masing-masing. – Bernama, 7 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen