Kebakaran hutan Dixie ketiga terbesar dalam sejarah California


KEBAKARAN hutan yang berlaku di utara California menjadi yang ketiga terbesar dalam sejarah negeri itu dan ia dilihat terus merebak.

Kemarau panjang yang menurut saintis dicetuskan oleh perubahan iklim, menyebabkan bahagian barat Amerika Syarikat kering dan mampu mencetuskan kebakaran yang mudah merebak.

Kebakaran Dixie yang merebak di pekan Greenville minggu ini, dilihat merebak sehingga 1,700 kilometer persegi sejak ia mula tercetus pada pertengahan Julai.

Syerif Plumas County Todd John, yang membantu menyelaras operasi pemadaman berkata, kemusnahan yang berlaku sangat besar.

“Saya sudah lama tinggal di Greenville. Hati saya remuk apabila melihat apa yang berlaku di sini,” katanya dalam sesi taklimat pada Khamis.

“Penduduk di sini kehilangan tempat tinggal dan perniagaan…hidup mereka berubah sekelip mata.

“Apa yang saya boleh katakan ialah: Saya minta maaf,” katanya.

Bandar Greenville mngalami kemusnahan teruk dengan semua binaan kayu musnah sama sekali.

John berkata setakat ini tiada kecederaan dilaporkan daripada kebakaran itu, namun menegaskan bahawa sangat penting untuk penduduk mematuhi arahan untuk berpindah.

“Kebakaran masih belum berakhir. Sekiranya ia tercetus di kawasan berhampiran kamu…kamu perlu bersedia. Arah mana angin bertiup, ia akan menuju ke arah itu.”– AFP, 7 Ogos, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen