PBB gesa pergiat usaha pastikan dunia bebas senjata nuklear


Setiausaha Agung PBB António Guterres menyeru semua pihak terus memastikan agar dunia bebas daripada sebarang ancaman senjata nuklear. – Gambar AFP, 6 Ogos, 2021.

SEMPENA ulang tahun ke-76 ledakan bom atom pertama di Hiroshima, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres pada Khamis menyeru semua pihak terus memastikan agar dunia bebas daripada sebarang ancaman senjata nuklear.

“Saya sangat khuatir melihat kurangnya kemajuan ke arah menuju dunia yang bebas nuklear,” katanya dalam rakaman video sempena ulang tahun itu, menurut Xinhua.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara-negara yang memiliki senjata nuklear telah memodenkan senjata mereka, mencetuskan persaingan baharu.

Justeru katanya, keputusan Rusia dan Amerika Syarikat (AS) untuk melanjutkan Perjanjian Pengurangan Senjata Strategik Baharu dan terlibat dalam dialog mengenai kawalan senjata amat dialu-alukan sebagai langkah untuk mengurangkan risiko bencana nuklear.

“Saya menyeru semua negara yang memiliki senjata nuklear untuk mengambil langkah-langkah pengurangan risiko, secara individu dan bersama.

“Satu-satunya jaminan terhadap penggunaan senjata nuklear adalah penghapusan sepenuhnya senjata itu,” kata Guterres.

AS menjatuhkan bom atom di Hiroshima pada 6 Ogos 1945, tiga hari kemudian bom kedua dijatuhkan diNagasaki, membunuh kira-kira 210,000 orang. Serangan nuklear akhirnya menamatkan penjajahan dan pencerobohan Jepun ke banyak negara Asia Timur dan berakhirnya Perang Dunia II. – Bernama, 6 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen