30 maut dalam serangan di Burkina Faso


TIGA puluh orang termasuk 15 anggota tentera maut diserang kumpulan bersenjata di beberapa kampung di utara Burkina Faso, kata Kementerian Pertahanan.

Kenyataan kementerian semalam menyebut kejadian pada Rabu di perkampungan berhampiran sempadan dengan Niger itu mengakibatkan 11 orang awam terkorban.

Kumpulan bersenjata juga mencuri haiwan ternakan serta membakar beberapa bangunan dan kediaman penduduk, katanya.

“Pasukan tentera dan anggota tentera simpanan dikerah ke lokasi kejadian. 

“Bagaimanapun, 15 tentera dan empat anggota pasukan simpanan terbunuh, manakala lebih 10 pengganas berjaya ditumpaskan,” menurut kenyataan kementerian pertahanan.

Kementerian itu juga memberi jaminan lokasi serangan kini diletakkan di bawah kawalan tentera. Selain itu, serangan balas menerusi udara dan darat terhadap anggota militan sedang dilaksanakan. 

Terdahulu, seorang pegawai pasukan tentera sukarela VDP berkata serangan berlaku di wilayah pentadbiran Sahel, membabitkan perkampungan Badnoogo, Bassian, Tokabangou dan Gadba dekat sempadan Niger, dan daerah Pensa di tengah wilayah utara.

Serangan pengganas di Burkina Faso yang terletak di wilayah Sahel bermula sejak 2015, termasuk serangan kumpulan dikaitkan dengan Al-Qaeda dan Daesh.

Lebih 1,500 orang maut dan lebih 1.3 juta penduduk terpaksa menjadi pelarian. – AFP, 6 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen