Itali wajibkan pas kesihatan Covid-19 kepada guru


Green Pass diwajibkan Itali diperlukan untuk memasuki pawagam, muzium dan tempat sukan tertutup, atau makan di restoran. – Gambar EPA, 6 Ogos, 2021.

KABINET Itali pada Khamis mewajibkan pas kesihatan koronavirus terhadap guru dan juga penumpang pengangkutan awam, termasuk penerbangan domestik, feri dan kereta api jarak jauh.

Green Pass atau pas hijau itu, yang merupakan lanjutan sijil digital Covid EU, akan diminta mulai Jumaat untuk memasuki pawagam, muzium dan tempat sukan tertutup, atau makan di restoran.

Sijil kesihatan membuktikan pembawanya sama ada sudah divaksinasi dengan sekurang-kurangnya satu dos, pulih daripada Covid-19 dalam tempoh enam bulan terakhir, atau dinyatakan negatif dalam tempoh 48 jam sebelumnya.

Di bawah undang-undang baru, kakitangan sekolah dan universiti akan memerlukan pas, termasuk pelajar universiti.

Kakitangan tanpa pas selama lima hari berturut-turut akan digantung dan gaji mereka dibekukan, kata media Itali.

Menteri Pendidikan Patrizio Bianchi berkata pada sidang media bahawa lebih 86% kakitangan sekolah divaksinasi, dan jumlah itu mungkin mungkin menghampiri 90%.

Menteri Kesihatan Roberto Speranza menggesa keluarga memberi suntikan kepada kanak-kanak berusia lebih 12 tahun, dan berkata remaja berkelayakan menjalani ujian pengesanan Covid-19 segera.

Pas berkenaan akan diwajibkan pada penerbangan domestik, kereta api dan beberapa perkhidmatan feri mulai 1 September.

Speranza berkata keputusan itu - yang mencetuskan protes di beberapa pihak - adalah kunci untuk membendung peningkatan kes Covid-19, dan beliau mendesak penduduk Itali untuk terus mendapatkan vaksin.

“Jumlahnya memberangsangkan, dengan 70 juta dos (vaksin) diberikan,” kata Speranza, sambil menambah yang penggunaan kad hijau akan “mengelakkan penutupan dan melindungi kebebasan”.

Tempoh kuarantin minimum bagi individu positif virus atau kontak rapat dengan pesakit Covid-19 dikurangkan bagi mereka yang sudah divaksinasi, dari 10 kepada 7 hari.

Itali adalah negara pertama di Eropah yang mewajibkan doktor dan pekerja kesihatan di sektor awam serta swasta mendapat vaksin atau berdepan larangan bekerja secara langsung dengan pesakit.

Sekumpulan 300 pekerja kesihatan Itali membawa perkara ini ke mahkamah untuk berusaha membatalkan peraturan itu. – AFP, 6 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen