Israel lancar serangan udara ke Lubnan selepas 7 tahun


Pasukan pengaman PBB melakukan rondaan di sempadan antara Israel dan Lubnan. – Gambar EPA, 6 Ogos, 2021.

TENTERA udara Israel berkata ia melancarkan serangan udara ke negara jiran Lubnan untuk pertama kalinya dalam tempoh tujuh tahun pada Khamis.

Lubnan mengecam serangan itu dan menyifatkannya sebagai keterlaluan dan juga menunjukkan perubahan taktik oleh Israel, sementara pasukan pengaman PBB mendesak semua pihak bertenang.

“Awal hari ini (Khamis), roket ditembak dari Lubnan ke wilayah Israel,” tweet tentera udara Israel.

“Sebagai serangan balas ... jet pejuang menyerang lokasi pelancaran dan infrastruktur yang digunakan di Lubnan, dari mana roket dilancarkan.”

Tentera udara berkata “tambahan kepada sasaran di daerah yang dilancarkan roket pada masa lalu juga”.

Ini adalah kali pertama sejak 2014 mereka melancarkan serangan di Lubnan, kata tentera udara.

Televisyen Al-Manar Lubnan, yang dikendalikan oleh Hizbullah berkata pesawat Israel melakukan dua serangan sekitar pukul 12.40 pagi (2140 GMT) di luar bandar Mahmudiya, sekitar 11km dari sempadan.

Agensi Berita Nasional rasmi Lubnan juga melaporkan serangan itu, tetapi memberikan sedikit butiran.

Presiden Lubnan Michel Aoun berkata Israel menggunakan tentera udaranya menyasarkan kampung Lubnan adalah yang pertama seumpamanya sejak 2006, dan menunjukkan niat untuk meningkatkan serangan terhadap Lubnan.

Pasukan pengaman PBB UNIFIL, yang dikerahkan di Lubnan sejak 1978 dan melakukan rondaan di sempadan sejak konflik 2006, pada Khamis berkata Israel dan Lubnan perlu bertindak segera untuk mengurangi ketegangan. – AFP, 6 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen