TINDAKAN Umno menarik balik sokongannya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah kemuncak kepada rasa tidak puas hati parti itu yang hanya diberikan peranan kecil dalam pentadbiran, kata penganalisis politik.
Mereka berkata tindakan terakhir yang menyebabkan marah meluap-luap ialah apabila Muhyiddin dikatakan membelakangkan titah Yang di-Pertuan Agong dan membatalkan ordinan darurat sebelum mereka dapat membahaskannya di Parlimen.
Ini menjadi antara titik perubahan untuk Umno menarik sokongan, kata mereka.
Penganalisis berkata “kluster mahkamah” membabitkan pemimpin Umno yang berdepan pertuduhan jenayah juga menjadi faktor penyumbang kerana parti itu merasakan memandangkan ia sebahagian daripada kerajaan, pemimpin kanannya tidak patut tertakluk kepada “pendakwaan politik” dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata sejak sekian lama, Umno adalah parti dominan dalam kerajaan dan oleh itu ia tidak boleh terima apabila hanya diberikan peranan kecil.
Pada masa ini, terdapat lapan menteri dan lapan timbalan menteri daripada Umno dalam pentadbiran diketuai Muhyiddin.
“Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sudah tentu mahu peranan penting dalam kerajaan, tetapi dengan kesnya masih di mahkamah, beliau tidak akan diberikan sebarang jawatan,” katanya, menambah pelantikan Ismail Sabri Yaacob sebagai timbalan perdana menteri juga gagal menenangkan Umno.
Tunku Mohar berkata Ismail Sabri yang dilihat lebih setia kepada Muhyiddin dan bukan presiden parti, tidak membantu kepada keadaan itu.
Beliau berkata satu lagi sebab di sebalik keputusan Umno itu mungkin kerana parti itu mahu bekerjasama dengan gabungan baharu yang akan membawa parti itu kembali berkuasa.
Pada Selasa, Umno mengumumkan menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dan PN, menambah 11 ahli Parlimennya menarik balik sokongan.
Susulan pengumuman itu, Muhyiddin selepas majlis menghadap Agong, berkata usul undi percaya terhadapnya akan dibentangkan apabila Parlimen bersidang pada September bagi menguji majoriti kerajaannya.
Umno takut hilang kerusi
Pensyarah Universiti Malaya Prof Awang Azman Awang Pawi berkata motif Umno menarik balik sokongan kepada PN kerana mereka takut hilang kerusi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Umno menarik diri daripada Bersatu kerana jika mereka terus bekerjasama dengan parti itu, tidak mustahil Umno akan diminta melepaskan kerusi tradisi yang dipegang oleh wakil rakyat yang lompat parti itu.
“Ini akan menyebabkan Umno hilang kedudukannya sebagai parti dominan Melayu pada PRU akan datang.”
Awang Azman berkata satu lagi sebab ialah kerana Umno mahu Muhyiddin digantikan dengan calon daripada Umno.
Beliau berkata ini yang berlaku di Perak dan Johor di mana berlaku perubahan kepimpinan daripada Bersatu kepada Umno.
Katanya, krisis politik semasa ini sangat dinamik dan sama ada ahli Parlimen Umno akan menyokong Zahid atau Muhyiddin akan hanya diketahui pada saat di mana mereka mengundi di Parlimen.
Mengapa undi percaya tidak boleh diadakan sekarang seperti dicadangkan pembangkang dan orang ramai, Awang Azman berkata ia kerana PN masih belum yakin lagi.
“Pada masa ini, kerajaan PN belum yakin dalam berdepan situasi agak sukar ini dan tidak ada jaminan PN akan mendapat undi.
“Pertimbangan ini menyebabkan mereka memilih September ketika persidangan Parlimen bersambung semula.”
Kluster mahkamah
Penganalisis politik Oh Ei Sun berkata Umno, dengan menyertai gabungan PN, menjangkakan dan mengharapkan kes mahkamah terhadap pemimpinnya akan digugurkan.
“Daripada perspektif Umno, tuntutan mereka adalah sah kerana mereka menganggap pemimpin kanan mereka didakwa atas sebab politik oleh pentadbiran kerajaan sebelum ini, PH.
“Mereka pada masa ini berasakan bila mereka kembali berkuasa, semua kes ini sepatutnya digugurkan dan jika tidak berlaku begitu, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin dan Bersatu,” katanya.
Muhyiddin pada sidang media semalam turut berkata keputusan Umno menarik balik sokongan kepadanya adalah kerana beliau enggan campur tangan dalam kes mahkamah terhadap pemimpin Umno.
Oh berkata dengan tidak menggugurkan pertuduhan itu, pemimpin Umno berasakan Muhyiddin dan Bersatu pada dasarnya meneruskan pendakwaan politik terhadap mereka.
Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak antara pemimpin Umno yang berdepan banyak pertuduhan terhadap kes rasuah, penggubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa.
Walaupun Ismail Sabri menekankan ahli ahli Parlimen Barisan Nasional menyokong Muhyiddin, Oh berkata satu-satunya cara memastikan sokongan itu ialah apabila usul undi percaya dibentangkan di Parlimen pada September.
“Kita lihat nanti adakah usul itu akan dibawa ke Parlimen seperti dijanjikan. Adakah Muhyiddin akan bertahan atau adakah Umno berjaya menewaskan dan memaksa Muhyiddin letak jawatan.”
Empat kemungkinan bakal berlaku
Penganalisis politik Wong Chin Huat berkata apabila majoriti undi Muhyiddin akhirnya teruji di Parlimen pada September, terdapat empat kemungkinan yang mungkin berlaku.
“Senario kes terbaik untuk Umno ialah melihat perdana menteri baharu dilantik, tetapi jika tidak status quo akan kekal.
“Muhyiddin mungkin berjaya bertahan dengan memilih untuk bersama beberapa ahli Parlimen yang memberontak atau Warisan atau Pejuang,” katanya di Facebook.
Wong berkata undi itu juga mungkin dapat melihat kerajaan baharu diwujudkan, di mana Umno tidak akan ada pilihan kecuali bekerja bersama PH.
“Akhir sekali, Muhyiddin mungkin kekal dalam kerajaan minoriti. Ini boleh berlaku jika Muhyiddin kalah undi percaya tetapi gabungan PN kekal sebagai blok terbesar, dan tidak diundi keluar dengan terbentuknya perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA).” – 6 Ogos, 2021.
Komen