Ulama Arab Saudi ditahan tanpa bicara masuk hospital


Ulama terkenal Arab Saudi Sheikh Salman al-Awda ditahan tanpa bicara sejak September lalu dimasukkan ke hospital di barat Jeddah, lapor Amnesty International. – Gambar AFP, 18 Januari, 2018.

ULAMA terkenal Arab Saudi, Sheikh Salman al-Awda dimasukkan ke hospital selepas hampir lima bulan dikurung seorang diri, kata Amnesty International pada Selasa yang memetic sumber ahli keluarga ulama itu.

Awda adalah salah seorang daripada lebih 20 yang ditahan dalam operasi ke atas pembantah pada awal September lalu dan ditahan tanpa bicara sejak itu. Dia dikatakan hanya dibenarkan membuat satu panggilan telefon pada Oktober lalu.

Amnesty mengatakn dia dimasukkan ke sebuah hospital di barat Jeddah pada Selasa dan ahli keluarganya dilarang berhubung.

“Sheikh Salman al-Awda yang dimasukkan ke hospital selain membimbangkan dan merisaukan keluarganya turut menggambarkan layanan buruk diberikan pihak berkuasa Saudi,” kata Pengarah Kempen Amnesty Timur Tengah Samah Hadid.

“Pihak berkuasa perlu memastikan dia menerima semua rawatan perubatan diperlukan, dia dibenarkan berhubung dengan keluarga dan peguamnya- dan paling mustahak- dibebaskan daripada tahanan,” katanya.

Amnesty mengatakan Awda ditahan beberapa jam selepas memuat naik catatan di Twitter mengalu-alukan kemungkinan hubungan diplomatik Arab Saudi dan Qatar terjalin kembali.

Arab Saudi dan sekutunya memutuskan semua ikatan diplomatik dan ekonomi dengan Qatar pada Jun tahun lepas menuduhnya mempunyai hubungan dengan puak pelampau, dakwaan yang dinafikan Doha.

Menurut keluarganya, pihak berkuasa meminta Awda dan tokoh lain menyokong tindakan negara itu tetapi mereka enggan mematuhinya.

Aktivis Saudi juga mendedahkan yang saudara lelaki Awda, Khaled turut ditahan kerana mendedahkan penahanan ulama itu. – AFP, 18 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen