Dr Mahathir gesa majoriti Muhyiddin diuji segera


Raevathi Supramaniam

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata Parlimen perlu bersidang segera bagi menguji majoriti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2021.

PEJUANG mahu Parlimen bersidang secepat mungkin bagi menguji majoriti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Pejuang itu berkata, Muhyiddin sudah kehilangan majoriti dan keabsahannya untuk berada di Parlimen, oleh itu tidak perlu menunggu sehingga bulan September untuk mengundinya. 

“Apa yang kita yakin sekarang, dia tidak ada majoriti. Jadi bagaimana dia boleh kekal sebagai perdana menteri?.

“Kita tahu lapan ahli Umno menarik sokongan mereka, jadi dia tidak ada majoriti. Dia perlu mengadakan persidangan Parlimen sekarang supaya kita dapat memutuskan jika dia ada majoriti,” katanya pada sidang media maya yang diadakan menerusi aplikasi Zoom selepas mesyuarat majlis eksekutif parti.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata Covid-19 bukan penghalang untuk mengadakan persidangan Parlimen kerana sesi hibrid boleh diadakan.

Ketika ditanya siapa yang akan mengambil alih Muhyiddin sekiranya perdana menteri itu tidak mendapat sokongan majoriti, Dr Mahathir berkata ia bergantung pada individu atau parti untuk memutuskannya.

“Siapa yang akan menggantikannya adalah soalan yang lain dan perlu diputuskan oleh Parlimen.

“Ia bergantung pada majoriti, jika majoriti setuju sesiapa pun kita perlu terima. Bukan soal memilih, sesiapa dengan sokongan majoriti Parlimen akan menjadi perdana menteri,” katanya. 

Sekiranya masih buntu, Yang di-Pertuan Agong akan menentukan langkah seterusnya.

“Dalam keadaan normal, kita akan adakan pilihan raya umum. Dalam keadaan tidak biasa ini, Agong akan memutuskan, sama seperti Agong melantik saya sebagai perdana menteri interim ketika Pakatan Harapan jatuh,” katanya.

Pada Rabu, Umno menarik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional. Pengunduran sokongan Umno mendatangkan keraguan terhadap majoriti Muhyiddin di Parlimen.

Semalam, Muhyddin mengumumkan beliau akan berdepan undi percaya pada September.

Parti pembangkang menuntut agar persidangan diadakan selewat-lewatnya pada 8 Ogos 2021. – 5 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen