JUMLAH pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital di Lembah Klang meningkat 33% dalam dua minggu terakhir, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Katanya, secara purata seramai 1,000 pesakit dimasukkan ke hospital di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Terdapat 6,427 pesakit berada dalam hospital, 2,685 berada dalam PKRC dan 659 berada dalam ICU di Selangor, KL dan Putrajaya.
“Dashboard CPRC Hospital System juga menunjukkan bilangan pesakit yang menunggu bagi mendapatkan rawatan di luar Jabatan Kecemasan dan Trauma adalah tinggi,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Noor Hisham berkata, bagi menangani kemasukan pesakit baharu, Pasukan Petugas Khas Lembah Klang menubuhkan sebuah hospital medan di perkarangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan menambah katil tambahan di hospital Selayang dan Serdang.
Beliau menambah, dalam dua minggu terakhir, sebanyak 2,884 katil tambahan diberikan.
“Pada masa sama, PKRC MAEPS juga dipertingkatkan kapasitinya bagi memberi rawatan kepada pesakit yang memerlukan rawatan oksigen,” katanya.
Kini terdapat lima hospital di Lembah Klang yang diubah menjadi hospital penuh Covid-19. Antaranya adalah Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia.
Dalam 24 jam terakhir, Malaysia mencatatkan rekod baharu dengan 20,596 kes Covid-19 dilaporkan.
Selangor dan Kuala Lumpur menyumbang lebih separuh jumlah kes dengan 8,549 dan 2,163 kes. Putrajaya pula melaporkan 50 kes Covid-19. – 5 Ogos, 2021.
Komen