Turki kecam rancangan AS berkenaan pelarian Afghanistan


Turki tolak cadangan AS guna negara ketiga bagi tujuan penempatan semula ribuan warga Afghanistan yang berisiko menjadi sasaran militan Taliban. – Gambar fail AFP, 5 Ogos, 2021.

TURKI menyelar rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk menggunakan negara ketiga bagi tujuan penempatan semula ribuan warga Afghanistan yang ada hubungan dengan tentera Barat dan berisiko menjadi sasaran militan Taliban.

Kementerian Luar melalui kenyataannya menolak tindakan itu kerana ia dilakukan tanpa kebenaran mereka.

“Ia sesuatu yang tidak boleh diterima untuk mendapatkan penyelesaian terhadap sebarang masalah di negara ketiga termasuk Turki tanpa kebenaran,” katanya.

Kenyataan itu berkata Turki tidak pernah diberi nasihat untuk menerima pelarian dari Afghanistan.

Turki kini menjadi “rumah” kepada lebih empat juta pendatang dengan kebanyakannya dari Syria.

Dengan perkembangan penarikan kuasa tentera AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dari Afghanistan, Ankara khuatir dengan kemasukan pelarian baharu.

Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata wakil rasmi Turki pernah mengadakan rundingan membabitkan isu Afghanistan dengan rakan sejawat mereka di negara itu.

Kurang sebulan sebelum AS merancang mengakhiri perang terpanjangnya di Afghanistan, Jabatan Negara pada Isnin lalu mengumumkan program kemasukan pelarian baharu untuk warga Afghanistan yang membabitkan penempatan semula mereka di negara ketiga di rantau itu sementara dokumen mereka diproses.

Jabatan Negara merujuk kepada Turki sebagai satu daripada lokasi penempatan semula selain di Pakistan.

Kementerian Turki berkata rancangan AS itu berisiko menyebabkan krisis pendatang terbesar di wilayah ini. Pihaknya juga tidak memiliki kemampuan untuk menangani krisis pendatang baharu bagi pihak negara ketiga. – AFP, 5 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen