SYDNEY mencatat lima kematian akibat Covid-19 hari ini, ketika perintah berkurung dilaksanakan di bandar terbesar Australia itu dan beberapa daerah lain.
Enam minggu selepas lima juta penduduk Sydney diarahkan duduk di rumah, angka harian jangkitan di New South Wales naik kepada 262 kes, tertinggi sejak pandemik dikesan di negeri itu.
Pihak berkuasa berkata hampir semua kes tersebut dikesan di Sydney, namun beberapa kes yang direkodkan di beberapa daerah lain memaksa perintah berkurung dikuatkuasakan, kata Ketua Menteri New South Wales Gladys Berejiklian.
Lima kes positif dikesan di Newcastle di utara Sydney, yang mempunyai 320,000 penduduk. Pihak berkuasa mengarahkan sekolah ditutup dan semua penduduk duduk di rumah selama seminggu.
Lima kematian akibat Covid-19 di Sydney hari ini membabitkan pesakit berusia 60 hingga 80 tahun, kesemuanya belum divaksin.
“Sebab itu saya menekankan pentingnya semua orang mendapatkan suntikan vaksin,” kata Berejiklian dalam kenyataan.
Hanya kira-kira 20% penduduk Australia sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19. – AFP, 5 Ogos, 2021.
Komen