Puluhan cedera rusuhan ulang tahun letupan Beirut


Pergolakan di Beirut antara polis anti rusuhan dan penunjuk perasaan menyebabkan puluhan cedera. – Gambar AFP, 5 Ogos, 2021.

PULUHAN cedera hari ini apabila polis Lubnan bertempur dengan penunjuk perasaan yang menuntut pihak bertanggungjawab terhadap insiden letupan pelabuhan Beirut tahun lalu, tidak jauh dari lokasi kejadian yang kini genap setahun berlaku.

Pergolakan di pusat bandar Beirut antara polis rusuhan dan penunjuk perasaan, yang menyalakan api dan cuba menyerbu ibu pejabat Parlimen. Anggotanya didakwa menghentikan siasatan terhadap bencana tersebut.

Polis rusuhan bertindak balas dengan menembak gas pemedih mata, peluru getah dan meriam air, dan mendesak mereka bersurai.

“Susulan serangan berulang terhadap anggota Pasukan Keselamatan Dalam Negeri, kami akan menggunakan cara yang sah dan berpatutan… terhadap penunjuk perasaan yang tidak secara aman,” kata polis dalam satu kenyataan.

Tidak lama kemudian, televisyen Lubnan menunjukkan sebuah kereta kebal bergerak ke kawasan itu.

Pasukan Palang Merah, yang menghantar 21 ambulans dan 100 paramedik berkata pihaknya membawa lapan orang ke hospital, dan merawat puluhan lagi di lokasi.

Beberapa ratus meter di pelabuhan, ribuan orang berkumpul bagi menyambut ulang tahun pertama letupan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 214 orang.

Mereka yang selamat dan ahli keluarga mangsa letupan membawa bendera dan potret mereka yang terkorban, disertai kesedihan dan kemarahan.

Tiada laporan mengenai keganasan di sana.

Sejurus selepas jam 6 petang pada 4 Ogos 2020, stok baja nitrat amonium yang tersimpan di pelabuhan bandar meletup dan menyebabkan kawasan sekitar ibu negara Lubnan seperti zon perang.

Selepas setahun, tiada pegawai kanan yang dipertanggungjawabkan. Siasatan tempatan belum membuat tangkapan besar atau bahkan mengenal pasti pelakunya, dengan pemimpin politik didakwa menghalang keadilan ditegakkan. – AFP, 5 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen