RWANDA telah menghantar 300 tentera untuk memperkuat pasukan pengaman PBB di Republik Afrika Tengah (CAR), di mana mereka akan membantu melindungi jalan-jalan utama ibu negara, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Langkah itu dibuat sebagai sebahagian daripada resolusi Majlis Keselamatan PBB pada Mac untuk meningkatkan kekuatan Minusca dalam CAR kepada sekitar 3,000 orang.
Salah satu negara termiskin di dunia, CAR telah dilanda konflik sivil sejak 2013, dengan kumpulan bersenjata menuntut sumber dan kuasa.
“Ini adalah bahagian pertama unit (Rwanda) yang tiba hari ini untuk menjaga jalan-jalan antara Bangui dan Beloko,” sebuah bandar di sempadan Cameroon, kata jurucakap Minusca, Abdoulaziz Fall kepada AFP pada Selasa.
Pasukan tentera akan dikerahkan di situ selama setahun, katanya.
“Batalion (Rwanda) selebihnya seramai 450 tentera akan tiba pada akhir tahun ini.”
Pertemouran dalam CAR telah reda sejak 2018, namun negara itu terus berhadapan masalah serius.
Disember lalu, menjelang pilihan raya, enam kumpulan bersenjata bekerjasama dalam serangan terhadap Presiden Faustin Archange Touadera.
Mereka menggunakan jalan raya menuju ibu negara tetapi digagalkan oleh tentera Minusca dan pemerintah, disokong Rusia dan Rwanda yang dikejarkan ke CAR di bawah perjanjian keselamatan dua hala.
Pasukan tentera kerajaan kemudian bertindak balas, merampas kembali bandar-bandar utama dari pemberontak dan melancarkan serangan terhadap wilayah yang diduduki pemberontak sejak bertahun-tahun.
Dalam beberapa minggu terakhir, serangan pemberontak meningkat. Pada Sabtu, sekurang-kurangnya enam orang awam terbunuh berhampiran sempadan Cameroon, di barat laut negara itu. – AFP, 4 Ogos, 2021.
Komen