Tunjuk majoriti secepat mungkin, bukan September, kata parti pembangkang


Raevathi Supramaniam

Wakil-wakil parti pembangkang hari ini menekankan usul percaya terhadap perdana menteri wajib dibentang, dibahas dan diputuskan secepat mungkin memandangkan kadar kematian akibat pandemik Covid-19 meningkat dan ketika ekonomi parah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2021.

SIDANG khas Parlimen wajib diadakan secepat mungkin tidak lewat dari 9 Ogos ini bagi memutuskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata parti pembangkang hari ini.

Mereka berkata usul itu tidak boleh dilewatkan sehingga September.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Warisan Shafie Abdullah, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir, Wilfred Madius Tangau (Upko), Baru Bian (PSB), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda) dan Maszlee Malik (bebas).

“Kami ahli-ahli Parlimen pembangkang bersependapat bahawa satu sidang khas Parlimen mesti diadakan sesegera mungkin tidak lewat dari 9 Ogos berasaskan Peraturan Masyuarat 11 (3) untuk membentang, membahas, dan memutuskan usul undi percaya terhadap perdana menteri.

“Adalah amat tidak munasabah bagi sebuah kerajaan yang dipertikai keabsahan dan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk melengah-lengahkan proses menentukan sokongan di Parlimen,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Mereka menekankan usul itu wajib dibentang, dibahas dan diputuskan secepat mungkin memandangkan kadar kematian akibat pandemik Covid-19 meningkat dan ketika ekonomi parah.

Petang ini, Muhyiddin berkata satu usul percaya akan dibawa terhadapnya untuk ditentukan oleh anggota Dewan Rakyat pada September ini bagi menghapuskan semua keraguan mengenai sokongan terhadapnya.

Perdana menteri berkata demikian berikutan pengumuman Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa Umno sudah mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong surat akuan “yang mencukupi angka” untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata cuma lapan ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan terhadapnya.

Pada majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong pagi tadi, Muhyiddin menyembah maklum kepada Baginda bahawa beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat berdasarkan sejumlah surat akuan yang mereka beri kepadanya. – 4 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen