SEBELAS persatuan peniaga mewakili perniagaan bukan keperluan utama menulis surat kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk merayu dibenarkan membuka semula operasi pada bulan ini berikutan perintah sekatan kawalan yang berterusan menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada mereka.
Kumpulan itu meminta operasi dibenarkan semula dengan sekurang-kurangnya kapasiti 50% tenaga kerja.
“Kami bukan hendak beri tekanan kepada kerajaan, tetapi kami sangat terdesak untuk menyambung semula perniagaan. Kerajaan sepatutnya faham keadaan sekarang sangat teruk.
“Kalau dibenarkan kapasiti 50% pun, kami perlu ambil masa agak lama untuk kembali normal. Kami kerugian besar dan terlepas banyak peluang perniagaan sepanjang dua bulan lalu,” kata Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Low Kian Chuan kepada The Malaysian Insight.
Penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada masa ini bermula 1 Jun di seluruh negara. PKP pada masa ini dikenali sebagai fasa satu di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diperkenalkan kerajaan bulan lalu.
Di beberapa negeri, ada yang sudah beralih ke fasa 2 dan 3 selepas menepati beberapa kriteria ditetapkan termasuk kadar vaksinasi, jangkitan baharu Covid-19 harian dan kapasiti ICU di hospital.
Tetapi di Lembah Klang serta Johor yang menjadi hab perindustrian dan perniagaan utama negara, masih kekal di bawah fasa satu.
Di bawah fasa satu, hanya sektor penting seperti makanan, penjagaan kesihatan, air, elektrik, perbankan, pelabuhan dan logistic serta komunikasi, dibenarkan beroperasi.
Kilang mengeluarkan barangan penting dan barangan rantaian bekalan bagi sektor penting juga dibenarkan beroperasi, dengan kapasiti 60% tenaga kerja.
Bagaiamanpun, senarai apa yang dianggap perniagaan penting dan bukan keperluan utama mencetuskan masalah jika ia tidak diselaraskan, terutama apabila pengeluar hiliran dan huluan sepanjang rantaian bekalan dikategorikan secara berbeza.
Low yang mengendalikan perniagaan perabot, memetik sektor itu sebagai contoh, di mana pengeluar kayu huluan dibenarkan beroperasi, tetapi pembukan perabot hiliran tidak boleh.
“Sektor kayu menyumbang kira-kira RM2 bilion sebulan bagi eksport dan RM800 juta sebulan bagi domestic.
“Kerajaan membenarkan sektor kayu beroperasi tetapi industri hiliran seperti sektor perabot yang kebanyakannya beroperasi di Johor, Kuala Lumpur dan Selangor tidak boleh dibuka.”
Katanya, kilangnya yang beroperasi di Terengganu mengalami kesukaran mencari bahan seperti cat dan kaca kerana sekatan pergerakan. – 7 Ogos, 2021.
Berita penuh di sini
Komen