Anggota polis terbunuh dalam insiden di luar Pentagon 


Bangunan Pentagon di Washington terpaksa ditutup sementara susulan insiden tembakan di luar bangunan itu.– Gambar EPA, 4 Ogos, 2021.

SEORANG anggota polis terbunuh di terminal transit Pentagon pada Selasa dalam insiden yang memaksa ibu pejabat tentera Amerika Syarikat itu ditutup, kata Jabatan Pertahanan AS. 

Pekerja di bangunan Pentagon di Arlington, Washington, diarahkan berlindung selama lebih daripada sejam selepas berlaku tembakan di dalam bas dan stesen kereta api bawah tanah beberapa meter dari pintu masuk. 

Menurut pegawai bertugas, lokasi itu ditutup selama 90 minit selepas insiden berkenaan namun enggan menjelaskan apa yang berlaku. 

“Insiden itu telah tamat, lokasi berkenaan juga selamat dan yang paling penting tiada lagi ancaman terhadap komuniti kita,” kata ketua Agensi Perlindungan Pentagon Woodrow Kusse yang mengawal keselamatan bangunan berkenaan. 

Kusse berkata terdapat beberapa kecederaan namun tidak mendedahkan butiran atau mengesahkan laporan pegawainya ditikam dan mati kerana kecederaan serta pelakunya ditembak mati. 

“Pegawai yang gugur ini mati ketika bertugas, membantu melindungi puluhan ribu orang yang bekerja dan melawat Pentagon setiap hari,” kata Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin dalam satu kenyataan. 

“Beliau dan rakan setugasnya merupakan ahli keluarga Pentagon, dan dikenali oleh kami sebagai golongan profesional, berkemahiran dan berani.”

Austin berkata siasatan ke atas insiden itu akan diteruskan dan menyatakan ia perlu diteruskan tanpa sebarang spekulasi.– AFP, 4 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen