PERDANA Menteri Prayuth Chan o-cha akan menghadiahkan satu tan buah-buahan tempatan kepada petugas barisan hadapan dan sukarelawan, sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka berjuang membendung penularan pandemik Covid-19.
Timbalan jurucakap kerajaan Ratchada Thanadirek berkata perdana menteri akan membeli longan, manggis dan rambutan untuk diberikan kepada petugas kesihatan dan sukarelawan, dalam usahanya menyokong projek “Happy Farmers” - satu inisiatif membantu golongan pekebun.
Ketika pandemik Covid-19 melanda di banyak negara, beliau berkata Thailand menghadapi cabaran untuk mengeksport buah-buahan menyebabkan berlakunya penurunan harga dan lambakan bekalan.
“Untuk menyokong pekebun perdana menteri akan membeli buah-buahan daripada koperasi tempatan dan akan dihantar kepada pekerja kesihatan dan sukarelawan,” katanya pada sidang media hari ini.
“Happy Farmers” adalah kempen anjuran Kementerian Perdagangan, Kementerian Pertanian dan Koperasi dan Thailand Post untuk mempromosikan perdagangan produk pertanian secara dalam talian. – Bernama, 4 Ogos, 2021.
Komen