MENARIK balik sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri bukan satu keputusan yang sukar, kata Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan.
Setiausaha Agung Umno berkata beliau hanya ada dua pilihan, antara menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan menegakkan Perlembagaan Persekutuan atau ingkar kepada parti.
“Saya membuat keputusan yang tidak sukar apabila tandatangani warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu sama ada mendaulat titah Tuanku, tegakkan Perlembagaan dan ikut keputusan Umno pada 7 Julai.
“Atau sokong Tan Sri Muhyiddin, tidak ikut Perlembagaan dan ingkar parti.
“Tentu saya pilih yang pertama,” tulisnya di Twitter.
Ulasan Ahmad adalah yang pertama daripada ahli Parlimen Umno selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pihaknya sudah mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong surat penarikan balik sokongan ahli Parlimen partinya kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Pengumuman dibuat selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno secara dalam talian petang tadi.
Ahmad adalah antara 11 pemimpin Umno yang berdiri bersama Zahid semasa pengumuman itu, termasuk timbalan presiden parti Mohamad Hasan.
Selain Mohamad, 10 yang lain dan Zahid adalah ahli Parlimen.
Muhyiddin sebelum ini dikatakan mempunyai 115 sokongan di Dewan Rakyat namun tidak pernah diuji keabsahannya. Umno mempunyai 38 wakil di Dewan Rakyat.
Zahid membuat pengumuman itu tidak lama selepas Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah mengeluarkan kenyataan bertulis letak jawatan menteri Kabinet Muhyiddin.
Menurut Zahid, Umno tidak lagi dapat bersama Muhyiddin dan kerajaannya selepas mereka berselisih pandangan dengan Yang di-Pertuan Agong berhubung soal pembatalan ordinan darurat.
“Umno memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin yang ternyata gagal di mata rakyat,” katanya.
Tindakan Umno juga selaras dengan perlembagaan parti, yang mendukung Perlembagaan Persekutuan dan Raja Berperlembagaan, tambahnya.
Minggu lalu, menteri undang-undang Takiyuddin Hassan memberitahu mesyuarat khas Dewan Rakyat bahawa kerajaan sudah membatalkan Ordinan Darurat sejak 21 Julai.
Beliau dan anggota kerajaan yang lain termasuk Muhyiddin kemudian enggan menjawab walaupun diasak oleh ahli Parlimen supaya menjelaskan sama ada pemansuhan itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atau belum.
Pada Khamis (29 Julai), Istana Negara mengeluarkan kenyataan memaklumkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah “amat dukacita” dengan tindakan kerajaan mengumumkan pemansuhan itu sebelum mendapat perkenan baginda.
Tindakan kerajaan Muhyiddin itu disifatkan tidak mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan untuk ordinan darurat dibahas dan diungkai di Parlimen, kata Istana Negara. – 3 Ogos, 2021.
Komen